VIDEO dan gambar seorang wanita yang dirakamkan terjatuh dari balkoni bangunan bertingkat tinggi ketika cuba mengambil swafoto pada hari Jumaat, tersebar. Sandra Manuela Da Costa Macedo, 27, tiba di Panama baru-baru ini di mana dia mendapat kerja sebagai guru, menurut akhbar Portugis O Minho. Macedo berasal dari bandar utara Portugis dan mempunyai dua orang anak. Susana Cunha Barros, seorang wanita Portugis memberikan penghormatan kepada Macedo melalui akaun Facebooknya: 'Selamat tinggal,' tulisnya dalam kapsyen foto. "Sandra... terima kasih atas sumbangan anda dalam mendidik anak perempuan saya Helena. Sentiasa akan mengingatinya dengan penuh kasih sayang." Macedo dirakam dari jauh apabila dia, dengan tragis terjatuh dari tingkat 27 sebuah blok kediaman tinggi apabila hilang keseimbangan ketika sedang bertenggek di atas besi balkoni untuk mengambil swafoto. Badannya dilihat melepasi besi balkoni tempat dia bersandar. Video mengerikan yang dirakamkan seseorang dari blok sebelah menunjukkan dia masih memegang kayu swafoto ketika terjatuh. Seorang saksi yang turut merakam kejadian itu menjerit: "Dia gila, tengok apa terjadi, tengok dia, dia terjatuh." Paramedik bergegas ke tempat kejadian iaitu Menara Luxor yang terletak di El Cangrejo, kawasan kejiranan popular di Panama City selepas mendapat panggilan pada jam 10 pagi waktu tempatan tetapi wanita itu tidak dapat diselamatkan. Macedo pada mulanya dikenali sebagai seorang pelawat Portugis yang baru sahaja tiba di Panama. Bagaimanapun seorang wanita yang mengaku kawan Macedo berkata dia merupakan seorang ibu kepada dua anak yang pergi ke Panama untuk berkerja sebagai guru. Pekerja pembinaan di blok menara tersebut dikatakan telah menjerit menyuruh wanita berkenaan tidak duduk di besi balkoni sebelum dia terjatuh, tetapi angin yang kuat pada ketika itu menyebabkan teriakan pekerja pembinaan itu tidak didengari olehnya. Laporan tempatan menyatakan kejadian itu masih dalam siasatan tetapi pihak polis menumpukan pada teori bahawa tiupan angin mungkin telah membuatkannya jatuh. Perkhidmatan Bomba Panama mengeluarkan amaran di laman Twitter rasminya selepas tragedi tersebut: "Jangan menggadaikan nyawa anda untuk mengambil gambar." Seorang sahabat menulis di Instagram: "Wanita ini adalah seorang rakan yang sangat baik, ibu kepada dua orang anak. Dia seorang guru dan berada di Panama untuk berkerja dalam profesion pilihannya. "Dia adalah warga Portugis dan dipanggil Sandra. Mari kita berdoa untuknya." Seorang lagi menjawab: "Sedih tengok orang seperti ini, ada segalanya dalam hidup dan ingin kelihatan cantik dalam foto tetapi tidak sedar tempat dia berada bahaya kerana angin." Satu kajian yang dibuat oleh All India Institute of Medical Sciences di New Delhi baru-baru ini mendapati seramai 259 orang meninggal dunia ketika cuba mengambil gambar selfie antara Oktober 2011 dan November 2017.-MailOnline