SEBUAH video menunjukkan empat wanita menari agak ghairah bersama muzik rancak berentak EDM (electronic dance music) di majlis pengebumian rakan mereka tular di Thailand. "Gadis-gadis ini menari untuk 'menghantar' rakan mereka ke syurga semasa pembakaran mayatnya," tulis keterangan pada klip itu, yang telah dilihat lebih dari 706,000 kali dan mendapat lebih dari 5,000 perkongsian sejak dimuat naik ke laman Facebook @Kodhere. Menerusi video itu, empat wanita yang berpakaian hitam dilihat menari mengikut irama rancak yang dipasang dengan kuat di depan sebuah bangunan, dipercayai tempat rakan mereka akan dibakar, sambil dilihat oleh orang ramai. Seorang lagi gadis, yang menangis dan cuba menyembunyikan muka di dalam bajunya hanya duduk di atas SUV putih yang memainkan muzik EDM itu, lengkap dengan lampu yang berkelip. Walaupun tidak ada butiran lanjut diberikan, rata-rata netizen melabelkan mereka, termasuk rakan yang meninggal dunia itu sebagai 'coyotes' - istilah Thai untuk wanita yang menari untuk menghiburkan pelanggan sama ada di kelab malam sehinggalah restoran makanan laut. Video itu menerima pelbagai reaksi dan tindak balas dengan beberapa orang mengkritik betapa tarian dan muzik seperti itu tidak sesuai untuk kuil, tetapi ada juga yang melihatnya sebagai humor dalam situasi sedih. "Seolah-olah anda gembira kawan anda meninggal dunia," kata seorang netizen. "Kawan saya suka minum. Nanti bila dia mati, saya nak berikan minuman keras untuk orang ramai," tulis seorang pengguna lain.