SETELAH melangsungkan perkahwinan gilang-gemilang pada Mei lalu, isteri kepada Putera Harry, Meghan Markle dilaporkan sedang hamil dan dijangka bersalin pada pertengahan tahun hadapan. Perkara itu disahkan menerusi laman Twitter rasmi Kensington Palace, pada Isnin. Malah, bayi itu juga bakal menjadi pewaris ketujuh takhta diraja Britain. "Pasangan pengantin begitu menghargai sokongan orang ramai sejak disatukan Mei lalu. "Mereka teruja untuk berkongsi berita gembira ini dengan orang ramai," ujar pengendali laman Twitter rasmi itu. Harry dan Markle kini sedang berada di Australia sempena jelajah luar negara mereka yang pertama sebagai pasangan diraja. Berita gembira itu ternyata menjadi topik perbualan utama di laman sosial. Rata-rata peminat pasangan itu dari seluruh dunia turut menghantar mesej positif dan mendoakan kesihatan Meghan dan bayinya. Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 19 Mei lalu di Gereja St George, Istana Windsor, United Kingdom. Majlis tersebut dihadiri 600 tetamu termasuklah Oprah Winfrey, David dan Victoria Bechkam, Priyanka Chopra dan ramai lagi.- Reuters.