suria

Peluru kena rambut, pembantu ahli politik 'terlepas' maut

DUA individu mungkin 'beberapa inci terlepas daripada kematian' apabila dua tembakan dilepaskan di pejabat menara kompleks Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Jakarta.

Menurut laporan, peluru itu dilepaskan dari jarak kira-kira 400 meter ke menara berkenaan dari pusat latihan menembak dan 'sesat' ke pejabat penggubal undang-undang Bambang Heri Purnama dan Wenny Warouw, Isnin.

Foto-foto yang tersebar tidak lama selepas kejadian tembak itu menunjukkan peluru menembusi rambut atau bahagian belakang kepala salah seorang pembantu Bambang Heri yang berhijab.

Gambar-gambar itu disahkan oleh Speaker Dewan, Bambang Soesatyo yang mengadakan sidang akhbar bersama Polis Negara mengenai kejadian tersebut.

"Dah dekat, hampir terkena kepalanya, tapi syukur dia selamat dan tidak kena sesiapa pun," kata Bambang kepada pemberita memetik BBC Indonesia.

Bambang menambah pejabat Wenny Warouw yang terkena tembakan terlebih dahulu, kira-kira 15 minit sebelum pejabat Bambang Heri ditembak.

Wenny, yang berada di pejabatnya semasa tembakan itu, juga nyaris terkena peluru.

"Di tingkat 16 pun, jika Pak Wenny Warouw berdiri, dia mungkin akan terkena," katanya.

Menurut Wenny, kejadian berlaku sekitar pukul 2.20 petang.

"Saya bersama dua tetamu tiba-tiba bunyi tembakan dan peluru di atas kepala saya," katanya memetik Detikcom.

Spekulasi kononnya berlaku cubaan pembunuhan ahli politik bertiup kencang di media sosial berikutan tembakan itu, tetapi ia disangkal kerana Bambang Heri dan Wenny adalah ahli parti politik dari dua parti berbeza.

Wenny adalah dari parti Gerindra yang menyokong Prabowo Subianto, sedangkan Bambang Heri berasal dari parti Golkar yang menyokong Jokowi.

Sebaliknya, melalui siasatan awal Polis Negara seolah-olah menyimpulkan bahawa tembakan itu tidak disengajakan dan ia adalah peluru sesat dari padang latihan menembak.

"Selapas mendapat laporan, kami segera datang ke lokasi kejadian dan melakukan pemeriksaan. Hasil pemeriksaan, mendapati bahawa kedua-dua peluru itu merupakan peluru sesat.

"Peluru kaliber 9mm, dengan jarak jangkau yang cukup jauh, yang akan diteliti lebih lanjut," kata jurucakap polis Setyo Wasisto.

Setyo menambah bahawa pihak polis telah mengenal pasti individu yang disyaki terlibat dengan kejadian itu dan dia mungkin akan dikenakan tindakan undang-undang walaupun tidak berniat untuk menembak.

Menurut Setyo peluru itu tersesat ke tingkat 13 dan 16 ketika anggota melakukan latihan 'tembak reaksi' iaitu melepaskan tembakan sambil bergerak.

peluru sesat, ahli politik

Artikel Lain