suria

Suami isteri dipukul dengan besi, anak OCD mengamuk bapa guna tisu sama lap mulut, hidung

Gambar hiasan

SEORANG lelaki yang mempunyai gangguan obsesif kompulsif (OCD) tidak dapat menahan marah apabila dia melihat bapanya menggunakan sekeping tisu yang sama untuk mengelap mulut serta hidungnya.

Foo Shun Xiang, 37, memukul Foo Sah Leong, 68, dengan tiang besi sepanjang 1.2 meter dan terus menyerang bapanya itu walaupun dirinya sudah berlumuran berdarah.

Apabila ibunya, Chow Ah Lee, 65, cuba campur tangan, Xiang menggunakan tiang besi yang sama untuk memukulnya beberapa kali sehingga besi itu patah.

Mahkamah mendengar bahawa kecederaan yang dialaminya termasuklah patah tiga tulang rusuk.

Selepas serangan tersebut, lelaki yang menganggur itu menyuruh ibu dan bapanya mandi kerana mereka berlumuran darah.

Xiang mengaku bersalah di mahkamah pada Selasa atas tuduhan menggunakan tiang dan menyebabkan kecederaan parah terhadap Lee.

Tuduhan serangan kedua yang melibatkan bapanya akan dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Esther Wong berkata Xiang yang didiagnosis OCD pada tahun 2009 takut dengan kotoran dan pencemaran.

Walaupun begitu, dia enggan mengambil ubat yang telah ditetapkan.

"Tertuduh mempunyai sejarah mengawal ibu dan bapanya. Dia akan memantau pergerakan mereka dan akan menyuruh mereka mematuhi peraturan kebersihan tertentu dan melakukan ritual pembersihan untuk kepuasannya.

"Dia akan memarahi dan memukul mereka jika mereka tidak mematuhi arahannya dan menjelaskan berbuat demikian untuk mendisiplinkan mereka mengikut cara yang ditetapkan."

Ibu bapa Xiang takut kepada anak lelaki mereka itu kerana dia boleh berubah menjadi ganas pada bila-bila masa.

Dari tahun 2009 sehingga tahun ini, dia telah menyerang mereka sekurang-kurangnya empat kali.

Insiden tersebut bagaimanapun tidak dilaporkan kepada pihak polis kerana Xiang akan mengugut memukul ibu bapanya jika mereka bertindak sedemikian.

Xiang berada di rumah bersama ibu bapanya di flat Chai Chee Drive kira-kira jam 11 malam pada 28 Januari lalu apabila dia melihat bapanya menyapu mulut dan hidung dengan tisu yang sama.

Ibunya mengadu sakit teruk di tulang rusuk kirinya pada jam 5 petang pada hari berikutnya dan terus pergi ke Hospital Besar Singapura.

Wong berkata: "Sebelum mereka pergi ke hospital, dia meninggikan suara dan menyuruh mereka memberitahu doktor bahawa mereka cedera kerana diserang warga asing berkulit hitam yang merompak mereka.

"Dia mengakui mahu ibu bapanya menipu agar tiada laporan polis dibuat terhadapnya."

Ibu bapa Xiang melakukan seperti apa yang disuruh anak mereka tetapi tidak berhasil apabila jururawat yang merawat Lee membuat laporan polis pada 31 Januari
berhubung kononnya berlaku rompakan.

Pada mulanya Lee, pada 1 Februari memberitahu pihak polis menyatakan perompak telah menyerangnya.

Dia pada hari berikutnya akhirnya mengaku bahawa dia menipu bagi pihak anaknya supaya diri anaknya itu dilindungi.

Dokumen mahkamah tidak menyatakan sebarang tindakan akan dikenakan kepada Lee kerana memberi maklumat palsu.

Xiang, yang masih dalam tahanan, dijangka akan dihukum pada 23 Oktober ini. -Asia One/TheStraitsTimes

tiang besi, pukul, besi

Artikel Lain