SEORANG nenek dipenjara kerana membenarkan teman lelaki mudanya melakukan serangan seksual terhadap cucunya sambil dia melihatnya. Mahkamah di Australia mendengar serangan dilakukan apabila lelaki berusia 35 tahun itu memberitahu teman wanitanya bahawa dia obses terhadap budak perempuan. Nenek berusia 47 tahun itu dipenjarakan selama empat tahun dan empat bulan, menurut laporan Adelaide Now. Serangan seksual itu dilakukan dengan sangat teruk sehingga budak itu menderita dan enggan masuk ke dalam bilik jika ada lelaki di dalamnya. Hakim Liesl Chapman menyifatkan serangan terhadap budak berusia 20 bulan (1 tahun 8 bulan) itu sebagai 'menjijikkan'. Hartley, yang bertemu dengan wanita itu dalam talian dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya minimum 10 tahun dua bulan. Dia telah disabitkan kerana melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak itu dan mengedarkan bahan eksploitasi kepada hampir 100 pedofilia di seluruh dunia. Hakim berkata: "Siapa sangka seorang nenek boleh membiarkan perkara tersebut dilakukan kepada cucu-cucunya?." Selepas bertemu dalam talian, Hartley meminta kekasihnya itu menghantar gambar tidak senonoh dua cucunya, dengan yang paling muda berusia bawah setahun. Nenek tersebut bersetuju untuk menghantar gambar yang diminta dan kemudian membawa cucunya yang lebih tua ke rumah Hartley pada Ogos tahun lepas. Hakim berkata tidak ada kesalahan yang boleh disabitkan kepada ibu bapa kanak-kanak berkenaan kerana mereka sepatutnya mempercayai neneknya. Pihak polis menemui beratus-ratus gambar lucah kanak-kanak ketika Hartley ditahan dan mendapati dia telah menyamar sebagai seorang remaja dalam talian untuk menggalakkan budak perempuan menghantar gambar bogel mereka kepadanya. -Mirror