suria

Subur... wanita umur 40 tahun lahir 44 anak!

Nabatanzi bersama anak-anaknya. -foto DailyMonitor

SEORANG wanita berusia 40 tahun dari daerah Mukono, Uganda digelar wanita paling subur di negara Afrika itu setelah melahirkan 44 orang anak.

Mariam Nabatanzi menghabiskan masanya selama 18 tahun untuk mengandung sepanjang kehidupannya selama 40 tahun.

Wanita itu telah melahirkan enam pasangan kembar, empat kembar tiga, tiga kembar empat dan beberapa kelahiran tunggal.

Daripada 44 anak yang dilahirkan, 38 masih hidup dan kebanyakan mereka masih tinggal bersamanya.

Walaupun Nabatanzi adalah seorang ibu tunggal dan mempunyai keluarga besar, dia masih mampu memberikan makanan yang cukup untuk anak-anaknya.

Kehidupannya tidak pernah mudah. Pada usia 12 tahun, dia berkahwin dengan lelaki yang berusia 28 tahun lebih tua daripadanya, setelah berdepan percubaan bunuh oleh ibu tirinya.

Dia mendakwa ibu tirinya itu telah meletakkan kaca yang dihancurkan dalam makanan dan berjaya membunuh empat adik-beradiknya yang lain.

Dia terselamat kerana pada masa itu dia tiada di rumah tetapi ibu-bapanya masih berjaya menghalaunya dengan mengahwininya dengan seorang lelaki yang lebih tua yang akan menyerangnya setiap kali dia bercakap atau melakukan sesuatu yang tidak disukainya.

"Suami saya kahwin ramai dan mempunyai ramai anak hasil hubungan masa lalu yang mana saya harus menjaganya kerana ibu mereka entah ke mana," kata Mariam kepada akhbar Uganda, Daily Monitor.

"Dia juga ganas dan akan pukul saya jika tak suka apa yang saya cakap."

Nabatanzi melahirkan anak pertamanya, sepasang kembar, pada 1994, ketika berusia 13 tahun. Dua tahun kemudian, dia mendapat kembar tiga dan hampir dua tahun selepas itu dia mendapat kembar empat.

Walaupun ini mungkin luar biasa bagi kebanyakan orang, dia tidak berasa aneh kerana dia telah melihat kelahiran yang ramai sebelum ini.

Bapanya mempunyai 45 anak dengan beberapa wanita dan dia mendakwa bahawa mereka semua terdiri daripada kembar lima, empat, tiga dan dua.

Pakar sakit puan di Hospital Mulago, Kampala, Uganda, Dr Charles Kiggundu memberitahu Daily Monitor bahawa kesuburan melampau Nabatanzi berkemungkinan besar disebabkan genetik.

"Kesnya adalah kecenderungan genetik kepada hyper-ovulate (melepaskan banyak telur dalam satu kitaran) , yang mana ia ketara meningkatkan peluang gandaan, ia biasanya disebabkan genetik."

Nabatanzi selalu mengimpikan mendapat kembar enam, tetapi apabila hamil kali keenam, dia telah melahirkan seramai 18 bayi dan membuat keputusan untuk berhenti mengandung.

Dia pergi ke hospital untuk mendapatkan bantuan, tetapi setelah menjalani beberapa ujian, pakar sakit puan memberitahunya bahawa sebarang langkah berkaitan kesuburannya akan menimbulkan risiko dalam kehidupannya.

"Ia bukan sahaja mengancam sistem pembiakan tetapi juga berisiko membuatkan dia kehilangan nyawa," Dr Ahmed Kikomeko dari Hospital Umum Kawempe mengesahkan.

"Saya dinasihatkan untuk terus menghasilkannya (telur) kerana menghalangnya bermakna saya akan mati. Saya cuba guna peranti IUD tetapi saya jatuh sakit dan muntah dengan banyak, rasa hampir nak mati. Saya koma selama sebulan," kata Nabatanzi.

Menjelang usia 23 tahun, dia sudah mempunyai 25 orang anak, jadi dia pergi ke hospital sekali lagi, tetapi diberitahu tiada apa yang dapat dilakukan, kerana bilangan telurnya masih tinggi.

Bagaimanapun, Dr Kiggundu mendakwa terdapat prosedur yang boleh dilakukan untuk mencegah wanita itu hamil, tetapi menambah ramai yang tidak tahu mengenainya.

Kesuburan melampau Nabatanzi akhirnya berakhir pada Disember 2016, selepas melahirkan bayi terakhirnya, yang mana doktor memberitahunya bahawa peranakannya telah dipotong dari dalam.

Sukar untuk membayangkan bagaimana seorang ibu membesarkan 38 anaknya sendirian, tetapi Nabatanzi berjaya melakukannya.

Suaminya hampir tidak pernah 'melekat' di rumah dan jika pulang pun, dia akan menyelinap masuk pada waktu malam dan keluar sebelum anak-anak melihatnya.

Charles, 23, yang merupakan anak sulung wanita itu memberitahu Daily Monitor bahawa kali terakhir dia melihat bapanya ketika berusia 13 tahun dan beberapa adik-beradiknya langsung tidak pernah melihatnya.

"Saya boleh katakan kami tak tahu bagaimana rupa bapa. Kali terakhir saya melihatnya ketika berumur 13 tahun dan hanya sebentar pada waktu malam kerana dia sentiasa bergegas keluar," kata Charles.

Suami Nabatanzi hanya pulang setahun sekali dalam keadaan mabuk dan ganas. Dia langsung tidak menyara keluarganya malah tidak tahu semua nama mereka.

"Saya teruskan kehidupan kerana ibu saudara saya menasihatkan saya supaya bertahan dalam perkahwinan dan fokus terhadap anak. Dia menasihati saya supaya tidak hamil dengan lelaki berlainan," kata Nabatanzi.

Untuk menyara keluarganya, Nabatanzi akan melakukan sebarang kerja. Dia mendandan rambut dan menggayakan pengantin untuk majlis perkahwinan, serta menjaga hiasan untuk pelbagai acara.

"Semua dari poket saya sendiri. Saya beli 10kg tepung jagung sehari, 4kg gula sehari dan tiga ketul sabun.

"Saya perlukan sekurang-kurangnya Shs100,000 (RM108) sehari untuk pastikan keluarga dalam keadaan baik. Tuhan baik kepada saya kerana mereka tak pernah sehari pun hidup tanpa makan," katanya.

subur, kembar

Artikel Lain