SEORANG pramugara mencuri duit Dh18,550 (RM21,008) penumpang dan mengepamnya ke dalam tandas sebuah pesawat dari Bangkok ke Dubai pada 21 Jun lalu. Pramugara berusia 37 tahun dari Mesir itu mengaku mencuri wang dari dompet tiga adik-beradik ketika mereka meninggalkan tempat duduk untuk melihat bapanya yang sakit di kerusi lain dalam penerbangan kelas bisnes yang sama. Ketika kembali ke tempat, ketiga-tiga beradik itu menyedari wang tunai dalam dompet mereka hilang $2,600 (RM10,813) dan Dh9,000 (RM10,192). Selepas memaklumkan kepada kru pesawat, seorang pramugari membawa mereka ke bahagian dapur kelas pertama. Di situ, pramugari tersebut mengambil gambar baki wang yang masih disimpan mereka berikutan mempunyai nombor siri sama dengan yang dicuri. Selepas mendarat, polis tiba membuat pemeriksaan beg dan dompet ketiga-tiga mangsa. Mereka diarahkan untuk tidak menyentuh barang-barang tersebut. Akhirnya, polis dapat memadankan cap jari pramugara dengan resit yang berada dalam dompet. Salah seorang daripada mangsa itu menceritakan bahawa sebelum mengetahui kecurian itu, dia melihat pramugara tersebut membeli minyak wangi di bahagian bebas cukai bernilai Rp1, 000. Pramugara itu ditangkap pada 24 Julai. Pada mulanya dia menafikan mencuri malah menegaskan dia turut membantu penumpang-penumpang itu. Namun selepas itu, dia mengaku dan telah mengepam duit itu ke dalam tandas selepas mengetahui polis dipanggil sebelum pesawat mendarat. Perbicaraan ditangguhkan sehingga 11 November ini. -Philippine Daily Inquirer/Asia News Network/ The Star