GARA-gara dendam diejek dengan gelaran 'gajah' seorang lelaki tergamak membunuh satu keluarga dalam kejadian yang menggemparkan penduduk di daerah Deli Serdang, Sumatera Utara baru-baru ini. Suspek didakwa menghumban kesemua mangsanya ke dalam sungai bagi menghilangkan bukti.Lebih kejam, suspek yang dibantu tiga rakan subahat turut mengikat tangan, kaki dan mulut mangsa sebelum menghumban mereka ke dalam sungai ketika masih bernyawa. Menurut polis, mangsa dikenali sebagai Muhajir, Suniati (isteri) dan Solihin (anak lelaki). Pembunuhan kejam itu terbongkar selepas mayat tiga beranak terbabit dijumpai terapung di sungai Blumei berhampiran Tanjung Morawa, Isnin lalu. Sebelum penemuan mayat berkenaan, polis telah dimaklumkan mengenai kehilangan mereka sejak 9 Oktober lalu. Susulan itu, polis telah memberkas perancang utama pembunuhan, Rio Suryaningrat. Siasatan mendapati motif pembunuhan adalah dendam. "Suspek melakukan pembunuhan itu kerana tidak tahan diejek oleh isteri mangsa dengan gelaran gajah kerana keadaan fizikalnya yang gempal. "Dia meminta pertolongan tiga rakan bagi melupuskan mayat dan bahan bukti," kata Ketua Polis Sumut, Agus Andrianto. Tambah Agus, kesemua tertuduh bakal dihadapkan ke muka pengadilan dan didakwa membunuh. - Tribunnews