SINGAPURA/JAKARTA: Pesawat Lion Air Boeing 737 MAX yang terhempas di Indonesia, pagi Isnin terbang 'tidak menentu' dalam penerbangan sebelumnya semasa ia mengalami masalah teknikal, menurut dara daripada laman web pemantau penerbangan, FlightRadar24. Selepas berlepas dari Denpasar dari Bali pada petang Ahad, pesawat tersebut dilaporkan dengan variasi yang bukan kebiasaan pada ketinggian dan kelajuan udara, dalam beberapa minit awal penerbangan itu, termasuk penurunan 875 kaki selama lebih 27 saat semasa ia biasanya dalam keadaan naik, sebelum menstabilkan kedudukan dan terbang ke Jakarta. Bagaimanapun, juruterbang meneruskan penerbangan pada ketinggian maksium iaitu 28,000 kaki, berbanding 36,000 kaki pada laluan yang sama sebelumnya. Bercakap kepada pemberita pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lion Air, Edward Sirait berkata, masalah teknikal berlaku dalam penerbangan dari Denpasar ke Jakarta, tetapi ia diatasi mengikut prosedur. Dua penumpang bagi penerbangan itu memuat naik status di Instagram, melaporkan mereka bimbang mengenai masalah sistem penghawa dingin dan lampu di dalam kabin sebelum pesawat itu berlepas dengan kelewatan hampir tiga jam. "Saya marah kerana sebagai penumpang yang telah membeli tiket, kami mempunyai hak untuk mempersoalkan mengenai keselamatan pesawat," kata salah seorang penumpang terbabit, pengacara televisyen, Conchita Caroline. Tidak dipastikan sama ada maslaah kabin dikaitkan dengan masalah teknikal yang dinyatakan oleh CEO syarikat penerbangan itu. Penerbangan Denpasar-Jakarta mendarat pada pukul 10.55 malam waktu tempatan pada Ahad, memberikan masa selama enam setengah jam kepada jurutera untuk melakukan pemeriksaan sebelum ia dibawa untuk melakukan penerbangan Jakarta-Pangkal Pinang pada pukul 6.20 pagi Isnin. Pesawat tersebut terhempas ke laut beberapa minit selepas berlepas dari Jakarta, dan kesemua 189 orang di dalam pesawat dipercayai maut. FlightRadar24 turut melaporkan kelajuan udara dan ketinggian yang bukan kebiasaan dalam tempoh beberapa minit penerbangan JT610 berada di udara pada Isnin. - Reuters