suria

Lion Air: "Harap ini hanya mimpi buruk" - Bapa saudara mangsa paling muda tak dapat tahan kesedihan

Rizal Gilang Sanusi Putra dan Wita Seriani bersama anak mereka, Kyara Putra.

SEORANG bayi berusia 15 bulan yang dalam perjalanan pulang bersama ibu bapanya selepas melawat saudara-mara di Jakarta dipercayai menjadi mangsa termuda dalam nahas pesawat Lion Air.

Kyara Putra adalah antara penumpang yang hilang dan dipercayai maut selepas tragedi pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Kotak hitam pesawat Lion Air ditemui

Kyara menaiki pesawat bersama bapanya Rizal Gilang Sanusi Putra dan ibunya Wita Seriani, kedua-duanya berusia 26 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Lion Air: Identiti mayat pertama dikenal pasti

Adik Rizal, Gerian Sanusi Putra, memberitahu pemberita mengenai kisah tragisnya ketika menunggu perkembangan di lapangan terbang antarabangsa Jakarta.

"Saya keliru. Saya betul-betul tak faham apa yang berlaku," kata Gerian, 24 kepada The Telegraph.

"Ibu saya meninggal dua bulan lalu. Kemudian pagi ini saya diberitahu bahawa abang saya, tulang belakang keluarga saya, hilang," katanya.

Adik Rizal, Gerian Sanusi Putra (kiri).

Anggota mencari dan menyelamat Indonesia masih mencari bangkai penerbangan JT610 dan mayat majoriti penumpangnya, tetapi mengandaikan tiada mangsa yang terselamat.

ARTIKEL BERKAITAN: Lion Air: Penyelam kesan isyarat 'ping' dalam laut

Gerian menceritakan bagaimana dia yang sedang berada di rumahnya di Pangkal Pinang mendengar berita tentang kemalangan tersebut.

Pada mulanya dia cuba untuk tidak berfikir bukan-bukan dengan menganggap abangnya sekeluarga akan terbang pulang pada tengah hari, kerana pada malam sebelum kejadian, kakak iparnya memaklumkan perancangannya untuk pergi membeli-belah di Jakarta di sebelah pagi.

Tetapi apabila butiran penumpang pesawat diterima melalui Whatsapp, dia melihat nama mereka tersenarai.

Kyara Putra (tengah), dipercayai menjadi mangsa tragedi paling muda. -fotoFB

Gerian terus mencari penerbangan paling awal ke Jakarta, hanya membawa telefon bimbit dan sejak itu tidak putus-putus berharap akan mendapat berita tentang ahli keluarganya.

Gerian yang menggambarkan abangnya sebagai pencari nafkah untuk membiayai pendidikan adik-beradiknya yang lain masih tidak percaya dengan tragedi ini.

"Saya harap ini hanya mimpi buruk. Saya terus berdoa ini tidak benar. Jarang sekali berlaku dua perkara buruk dalam satu tahun, jadi ia tidak mungkin, abang saya tak mungkin mati," katanya.

Pegawai di Indonesia pada Selasa berkata pesawat Boeing 737 Max 8 itu telah mengalami masalah enjin, sehari sebelum penerbangan itu.

Lion Air, Kyara

Artikel Lain