PIHAK berkuasa Indonesia yang menjalankan siasatan berhubung nahas Lion Air Isnin lalu berjaya mengenal pasti identiti mayat yang ditemui. Mangsa pertama dikenal pasti sebagai Jannatun Cintya Dewi, 24, seorang pegawai kerajaan yang dalam perjalanan ke Pangkal Pinang atas urusan kerja. Cintya bekerja di Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral dan identitinya dikenal pasti menerusi analisis cap jari. "Jenazah mangsa ketika ditemui masih dalam keadaan baik, jadi ia memudahkan proses untuk mengenal pasti identiti, ujar Hudi, ketua unit polis yang mengelola Sistem Pengecaman Cap Jari Automatik (Afis). Ujarnya, polis berjaya mengenal pasti identiti itu setelah membuat padanan dengan data ahli keluarga mangsa. Dia bersama dua lagi rakan sekerja dalam kemeterian itu menaiki penerbangan Lion Air JT-610 bagi memantau pelaksanaan program biodiesel dan petroleum untuk kenderaan yang dikenali sebagai B20, di Pangkal Pinang. Sementara itu, adik kepada Cintya, Nadzir Ahmad Firdaus, 17, berkata, dia dan keluarganya masih lagi menaruh harapan agar gadis itu selamat dan masih hidup. Namun katanya, dia redha seandainya ditakdirkan kakaknya itu meninggal dunia akibat nahas berkenaan.-Straits Times.