JAKARTA: Agensi mencari dan menyelamat Indonesia berkata mereka menjumpai gear mendarat, roda dan badan pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di perairan Kawarang semasa misi pencarian pada Khamis. Gear mendarat ditemui sehari selepas penyiasat menjumpai perakam data penerbangan atau lebih dikenali sebagai kotak hitam milik pesawat malang itu. Penemuan itu dapat merungkai punca pesawat tersebut terhempas pada pagi Isnin lalu. Bercakap pada sidang media di Tanjung Priok, Jakarta, Muhammad Syauqi berkata agensi mencari dan menyelamat menggunakan strategi berbeza dalam operasi untuk mengesan bahagian utama badan pesawat itu. Kotak hitam dipercayai milik pesawat Lion Air JT610. Strategi itu termasuk menggunakan kenderaan yang dikendalikan dari jarak jauh (ROV). Syauqi berkata penyelamat dari agensi keselamatan seperti Tentera Laut dan polis turut dihantar untuk 'menggeledah' kawasan tersebut. Katanya, mereka juga merancang untuk menggunakan kapal kren pada Jumaat untuk mengangkat serpihan gear mendarat. Namun Syauqi berkata pasukan tidak menerima isyarat ping dari kokpit perakam suara (CVR) yang merekodkan perbualan antara juruterbang dan pembantunya. Ia dijangka terbenam pada kedalaman 35 meter di dasar laut. - cnn.com