SEORANG juruterbang Lion Air yang menerbangkan pesawat Boeing 737 itu sehari sebelum ia terhempas meminta untuk kembali ke Bali kerana masalah teknikal. Perkara itu disahkan pegawai lapangan terbang Bali Nusa Tenggara, Herson kepada Reuters. Menurut Herson, selepas membuat permohonan tersebut, juruterbang memaklumkan menara kawalan bahawa pesawat tersebut terbang normal dan tidak akan kembali ke lapangan terbang tersebut. Juruterbang membuat permintaan untuk berpatah balik beberapa minit selepas berlepas tetapi berjaya menangani masalah teknikal itu dan tetap meneruskan penerbangan ke Jakarta. Pesawat yang sama terhempas semasa penerbangan beberapa jam kemudian, menggorbankan 189 penumpang. Anggota Tentera Laut mengangkat sebahagian serpihan pesawat yang ditemui. Pesawat dari Denpasar, Bali menuju ke Jakarta itu selamat mendarat kira-kira pukul 10.55 malam Ahad. Pesawat yang sama berlepas dari Jakarta pada pukul 6.20 pagi Isnin menuju ke Kepulauan Bangka sebelum terhempas di perairan Karawang kira-kira 13 minit kemudian. Sebelum terhempas juruterbang sempat membuat permintaan untuk kembali ke Jakarta. Seorang jurucakap Lion Air enggan mengulas lanjut mengenai masalah teknikal yang dialami pesawat dari Denpasar, Bali menuju ke Jakarta malam Ahad lalu. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lion Air, Edward Sirait, masalah teknikal itu sudah diselesaikan mengikut prosedur. - abc.net.au