suria

Pasangan adik-beradik terikat dengan pita pelekat di sekeliling pinggang ditemui maut dalam sungai

Tala (kiri) dan Rotana (kanan) ditemui maut di Sungai Hudson. - NYPD HANDOUT/EPA-EFE/REX/Shutterstock)

MAYAT dua wanita muda dijumpai terikat bersama dengan pita pelekat di sekeliling pinggang dan pergelangan kaki mereka setelah melompat ke dalam Sungai Hudson kerana enggan pulang ke Arab Saudi.

Ketua detektif Jabatan Polis New York City, Dermot Shea memberitahu pada satu sidang akhbar, Tala Farea, 16, dan Rotana Farea, 23, mungkin memasuki air ketika masih bernyawa dan dikatakan bunuh diri berbanding kembali ke negara berkenaan.

"Pada masa ini kita tidak mempunyai maklumat yang boleh dipercayai bahawa terdapat unsur jenayah berlaku di New York City, tetapi kes ini sedang disiasat," kata Shea.

Shea berkata sumber di Virginia memberitahu para detektif bahawa dua wanita yang mayatnya ditemui oleh seseorang yang melintas di kawasan itu pada 24 Oktober: "... lebih suka membahayakan diri dan membunuh diri daripada kembali ke Arab Saudi".

Detektif menggunakan testimoni saksi kejadian, bukti video dan penggunaan kad kredit kakak sulung untuk membeli makanan, hotel dan pengangkutan bagi menentukan sama ada terdapat kemungkinan perbuatan khianat terlibat dalam kematian mereka.

Kedua-duanya kali terakhir dilihat oleh keluarga di Virginia pada 30 November 2017.

Mereka kemudian tinggal di sebuah rumah perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga sehingga akhir Ogos dan tiba di New York City pada 1 September sebelum menginap di beberapa hotel mewah, kata Shea.

Seorang saksi memberitahu detektif bahawa pada 24 Oktober sekitar 7 pagi waktu tempatan dia melihat dua wanita berlutut pada jarak 30 kaki antara kedua-duanya dekat Sungai Hudson, berdoa dengan kuat selama kira-kira 15 minit.

Polis berkata, adik-beradik itu yang pernah tinggal di Amerika Syarikat selama dua hingga tiga tahun, dikatakan telah mengalami penderaan fizikal dan mungkin memohon suaka perlindungan Amerika Syarikat.

Punca kematian masih belum ditentukan. - Mirror UK

Artikel Sebelum

Artikel Lain