SEORANG lelaki lumpuh memfailkan saman ke atas Lapangan Terbang Luton, London setelah terpaksa mengesot beratus-ratus meter dengan rasa malu gara-gara kerusi rodanya ditinggalkan. Rakaman menunjukkan Justin Levene, dari utara London, bergelut untuk bergerak menggunakan tangannya di lapangan terbang, sementara penumpang lain hanya melihatnya. Dia kini memfailkan tindakan undang-undang berhubung insiden itu yang berlaku pada Ogos 2017. Bagaimanapun jurucakap Lapangan Terbang Luton berkata dia telah ditawarkan bantuan dan menolaknya. Lelaki berusia 30 tahun itu lumpuh 10 tahun lalu selepas mengalami masalah tulang belakang tetapi selepas pembedahan, dia hilang keupayaan untuk berjalan. Aktivis hak orang kelainan upaya (OKU) dan pelumba kerusi roda ini telah mengembara ke seluruh dunia dan merupakan jurulatih dan mentor kepada mereka yang menggunakan kerusi roda. Berdasarkan gambar-gambar dikeluarkan pada Jumaat dia kelihatan bergerak mengesot di lapangan terbang menggunakan tangannya. Dia juga terpaksa 'memanjat' naik ke troli bagasi ketika mahu mendapatkan teksi. Seorang jurucakap Lapangan Terbang Luton menawarkan kerusi roda yang memerlukan bantuan seseorang untuk menolaknya, tetapi dia enggan menerimanya. Levene berkata dia marah apabila diberitahu kerusi rodanya yang ditempah khas telah ditinggalkan, dan berkata dia merasakan seolah-olah kakitangan di lapangan terbang menafikan haknya untuk bebas bergerak dengan sendiri. Dia memberitahu Standard: "Ketika saya tiba di Luton dari Croatia mereka beritahu kerusi roda saya ditinggalkan dan tidak ada alat yang tersedia untuk digunakan. "Apa yang mereka tawarkan kepada saya bukanlah kerusi roda, tetapi troli beroda seperti troli membeli-belah. "Anda perlu ditolak oleh orang lain dan itulah yang berlaku. Ditolak adalah perkara memalukan. "Seseorang yang tidak tahu bagaimana rasanya menggunakan kerusi roda tidak akan faham betapa pentingnya kebebasan bergerak untuk anda. Ia memalukan." Katanya, dia telah meminta kereta bermotor tetapi tiada, jadi mengesot di lantai adalah satu-satunya pilihan. Levene menambah: "Lagi satu, apa yang mereka fikir saya akan buat bila sampai rumah?" Levene berkata dia telah bersaing dalam banyak perlumbaan dan melakukan banyak kerja amal. Dia kini sedang mengumpul dana untuk membina sebuah sekolah di Moldova untuk anak-anak yatim dan mangsa pemerdagangan seks. Lapangan Terbang Luton London berkata perkhidmatan bantuan khasnya diberi penarafan 'baik' oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam. Seorang jurucakap menambah: "Apabila mengetahui penerbangan Mr Levene dari Croatia tiba tanpa kerusi rodanya pada Ogos 2017, pasukan kami bekerja keras untuk mencari penyelesaian, menawarkan kerusi roda lain sebagai pengganti sementara. Mr Levene menolak semua tawaran bantuan. "Walaupun kami meminta maaf dia tetap tidak puas hati dengan perkhidmatan yang diterima, kami berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan ejen dan kakitangan kami dalam keadaan yang sukar."