suria

Bapa doktor mangsa nahas Lion Air saman Boeing

Ruang menunggu Ibu Pejabat Penerbangan Boeing.

SEORANG bapa warga Indonesia yang kehilangan anaknya dalam nahas pesawat Lion Air pada bulan lalu menyaman Boeing, mendakwa kecacatan pada reka bentuk pesawat baharu syarikat itu telah menyebabkan kecelakaan tersebut berlaku.

Bapa penumpang Dr Rio Nanda Pratama memfailkan tuntutan mahkamah itu pada Rabu di Mahkamah Litar Cook County di Chicago, Illinois di Amerika Syarikat (AS) iaitu lokasi ibu pejabat Boeing.

Dia mendakwa syarikat gergasi penerbangan itu tidak memberi amaran kepada Lion Air atau juruterbangnya tentang keadaan reka bentuk yang tidak selamat pesawat 737 MAX 8.

Penerbangan Lion Air 610 terhempas ke Laut Jawa sejurus selepas berlepas dari Jakarta pada 29 Oktober dan menyebabkan 189 orang maut.

Dr Rio Nanda dan tunangnya Intan.

Dr Rio Nanda, 26, terbang untuk pulang dari persidangan di Jakarta apabila pesawat itu terhempas.

Mangsa dijadualkan berkahwin pada minggu ini, kata peguam Curtis Miner dari firma undang-undang yang berpusat di Florida, Colson Hicks Eidson, yang mewakili bapa mangsa dalam tuntutan saman tersebut.

Tunang Dr Rio Nanda, Intan Syari, juga berusia 26 tahun, telah dirakam dalam busana perkahwinannya bagi menunjukkan tanda cintanya terhadap lelaki itu.

Intan berkata Dr Rio Nanda sempat bergurau sebelum pergi ke persidangan itu sekiranya dia terlambat untuk pulang daripada persidangan tersebut, Intan harus mengambil gambar sambil mengenakan gaun perkahwinan dan menghantarkan kepadanya. - Daily Mail

Boeing, Lion Air

Artikel Lain