suria

Bapa sibuk membeli, kakak jerut leher adik tak henti menangis untuk tidurkannya

-foto Facebook

BAPA kepada seorang budak perempuan berusia enam tahun yang menggunakan tali pinggang keledar untuk menjerut adik lelakinya yang menangis sehingga mati berdepan pertuduhan pengabaian kanak-kanak.

Adrian Middleton didakwa meninggalkan dua orang anaknya di dalam kereta apabila dia pergi membeli-belah.

Ketika ketiadaannya, polis di Houston, Texas, berkata anak perempuannya telah membunuh adiknya sendiri dengan tali pinggang keledar.

Kini, Middleton, 26, berdepan tuduhan meninggalkan anak.

Houston Chronicle melaporkan kematian itu berlaku ketika dia sedang membeli-belah.

Penyiasat memberitahu akhbar itu bahawa Middleton berkata dia telah meninggalkan dua anak kecilnya di kerusi belakang pada 20 Mei dan dia masuk ke dalam kedai di Jacinto City selama hampir dua jam.

Dia kembali ke kereta dan melihat anak lelakinya tidak sedarkan diri dengan tali pinggang keledar dililit di sekeliling lehernya.

Dia menghubungi talian kecemasan tetapi pada masa itu kanak-kanak lelaki itu telah meninggal dunia.

Adrian Middleton

Anak perempuan Middleton kemudian disoal siasat oleh Pusat Penilaian Kanak-Kanak Harris County.

Menurut akhbar itu, budak perempuan tersebut memberitahu bahawa dia sedang bermain dengan adik kecilnya di kerusi belakang.

Suasana gembira tidak bertahan lama apabila dia marah dengan adiknya yang enggan berhenti menangis.

Rekod mahkamah menyatakan dia mengaku melilit tali pinggang keledar di leher adiknya.

Anak lelakinya, Adrian Middleton akhirnya senyap, dan kakaknya berfikir adiknya itu sedang tidur, kata pegawai.

Kini, selepas enam bulan dan selepas siasatan utama dijalankan, pihak polis memutuskan untuk mendakwa Middleton dengan pengabaian kanak-kanak.

Dia menyerah diri ke Jabatan Polis Baytown pada petang Isnin, menurut rekod penjara.

Akhbar tersebut berkata satu aduan jenayah difailkan di Harris County, pada Jumaat.

Middleton memberitahu polis Houston bahawa dia meninggalkan kereta dengan penghawa dingin dan filem terpasang dan menyediakan air dan snek untuk anak-anaknya sebelum membeli-belah di Family Thrift Store pada 20 Mei.

Dia memberitahu penyiasat bahawa dia kerap keluar dari kedai tersebut untuk memeriksa anak-anaknya.

Pada mulanya, Middleton memberitahu pihak berkuasa bahawa anak-anaknya memakai tali pinggang keledar di tempat duduk khas, tetapi kemudian mengaku mereka tidak menggunakan kerusi tersebut, menurut akhbar.

Pegawai polis juga telah memeriksa rakaman pengawasan dari kedai tersebut.

Rakaman menunjukkan Middleton berjalan masuk pada jam 10.35 pagi dan keluar pada jam 12.15 tengah hari.

Apabila dia ingin membungkus barang, dia melihat anak perempuannya menangis di kerusi belakang.

Dokumen mahkamah mendakwa dia mengaku telah 'melakukan sesuatu yang teruk'.

Middleton yang melihat anak lelakinya tidak bernyawa terus menelefon 911 dan cuba memberi bantuan CPR kepada anaknya.

Anak lelakinya digegaskan ke Hospital Kanak-Kanak Texas di mana dia telah disahkan meninggal dunia.

Kematiannya itu disahkan sebagai pembunuhan dengan cara mencekik, kata dokumen itu.

Kakaknya kini dalam jagaan neneknya, pihak polis Houston memberitahu akhbar itu. -Mirror

cekik, adik, cuai

Artikel Lain