suria

Suspek dalam tahanan buat 'drama' sebelum kurung polis dalam sel lokapnya

Paparan skrin dari rakaman kamera keselamatan. -fotoKhaosod

KADANG-kadang adegan seperti dalam filem atau drama berlaku di dunia nyata.

Contohnya kejadian malam Isnin, apabila seorang suspek yang dikurung kerana mengedar dadah menipu pegawai polis di Ayutthaya sehingga pegawai itu masuk ke dalam sel lokapnya.

Suspek mendakwa dia nampak ular di dalam selnya sebelum lalu di belakang pegawai itu dan menutup pintu sel.

Bagaimanapun polis dari daerah Sena di Ayutthaya, bersama dengan 200 sukarelawan, akhirnya menangkap semula Anan Komlawanit, 23, yang ditahan kira-kira jam 9.30 malam Isnin kerana memiliki dadah dengan niat untuk menjualnya, lapor Khaosod.

Pegawai di lokap berkenaan yang menjadi mangsa taktik licik Anan, menjelaskan ketika kejadian, suspek meraung dengan kuat kononnya ular muncul dari longkang sel.

Dia dilaporkan memasuki sel itu sebanyak empat kali untuk mencari ular tersebut.

Bagaimanapun, ketika memasuki sel untuk kali terakhir, Anan melihat peluangnya dan terus menutup pintu dan mengunci pegawai berkenaan.

Pada kira-kira pukul 3 pagi Selasa, polis Sena menerima panggilan daripada orang awam mendakwa seorang lelaki yang sepadan dengan keterangan mengenai Anan datang ke rumah mereka meminta bantuan sebelum melarikan diri.

Pasukan petugas akhirnya menemuinya sedang bersembunyi pada bayang-bayang pokok pisang, yang terletak hanya kira-kira 1 kilometer dari tempat dia ditahan.

Dia dibawa ke stesen dan kini berdepan dakwaan tambahan kerana melarikan diri dari tahanan dan memperdaya seorang pegawai, lapor Sanook. -MSN

dadah, lokap, taktik

Artikel Lain