JEPUN ingin memberikan kediaman percuma atau menjualnya pada harga diskaun yang tinggi memandangkan jumlah rumah yang ditinggalkan semakin tinggi. Negara tersebut mempunyai kira-kira 10 juta rumah kosong dan skim 'Akiya' direka untuk menangani masalah ini sambil membantu keluarga muda untuk masuk ke pasaran hartanah. Sesetengah kerajaan tempatan juga memberikan subsidi kepada pemilik rumah baharu untuk projek renovasi. Akiya bermaksud 'kosong' atau 'ditinggalkan' dalam bahasa Jepun. Kediaman yang ditawarkan itu kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar kerana terdapat ramai anak muda berhijrah ke bandar. Kepercayaan tahyul masyarakat Jepun juga menjadikannya lebih sukar untuk menjual rumah-rumah lama kerana dikaitkan dengan kejadian bunuh diri, pembunuhan, atau 'kematian kerana tinggal berseorangan'. Rumah-rumah ini dianggap malang, menurut laporan Insider. Populasi penduduk Jepun menyusut secara beransur-ansur sejak 2010, menurut data daripada Worldometers. Pada 2013, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun menganggarkan terdapat 8.2 juta rumah terbengkalai, lapor Rethink Tokyo. Skim 'Akiya' memberikan rumah-rumah ini kepada keluarga muda secara percuma (atau pada kadar diskaun yang sangat tinggi) dan dalam beberapa kes menawarkan subsidi untuk menggalakkan pemilik mengubahsuai kediaman tersebut. Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk melayakkan mereka memperoleh rumah tersebut. Sebagai contoh, sesetengah kerajaan tempatan menghendaki semua ahli keluarga berumur di bawah 43 tahun dan mempunyai anak-anak yang cukup usia untuk menghadiri sekolah rendah. Ramai yang menemui lokasi luar bandar dan susun atur yang luas sesuai dengan kehendak mereka, tetapi terdapat beberapa risiko yang perlu dipertimbangkan sekiranya ingin mengambil alih kediaman Akiya. Pertama adalah kos pengubahsuaian yang boleh mencecah harga sama seperti membeli hartanah di tempat lain. Kelemahan lain adalah kekaburan yang mengelilingi peninggalan kediaman tersebut dan mungkin pemilik asal akan muncul satu hari nanti untu menuntut pemilikan rumah tersebut. Menurut sesetengah pihak, membeli rumah 'Akiya' dianggap 'kegagalan sosial mutlak', tetapi dengan harga rumah di Tokyo semakin tinggi (sekitar RM3.3 juta untuk kediaman baharu pada Januari 2018), ia mungkin menjadi pilihan yang patut dipertimbangkan untuk kebanyakan keluarga muda. - Daily Mail