suria

Berpantang maut sebelum ajal

Rakaman detik mendebarkan Gursky semasa mencuba sukan peluncur angin buat pertama kalinya di Switzerland.

SEORANG lelaki yang mencuba sukan peluncur angin buat pertama kalinya nyaris menemui ajal selepas juruterbang terlupa mengikat tali keselamatannya pada pesawat tanpa kuasa enjin itu.

Rakaman video menunjukkan Chris Gursky berpaut pada peluncur angin itu selama lebih dua minit.

Gursky hanya berfikir dia akan mati ketika pesawat itu terbang pada kedudukan tinggi dan semasa ia sedang menuruni kawasan berbukit.

Tangan kirinya dilihat memegang erat besi pesawat tersebut manakala tangan kanannya pula berpaut pada belakang atau kaki juruterbang berkenaan sebelum mereka selamat mendarat.

Gursky mengalami retak pergelangan tangan dan ototnya turut koyak.

Pengalaman ngeri Gursky pada hari pertamanya semasa melancong ke Switzerland, menyebabkannya patah pergelangan tangan manakala otot di bahagian depan lengan atasnya turut koyak.

Meskipun berdepan pengalaman ngeri itu, pelancong dari Florida, Amerika Syarikat (AS) berkenaan tidak serik untuk mencuba sukan rekreasi tersebut pada masa akan datang.

"Kali pertama mencuba peluncur angin bertukar menjadi pengalaman hampir meragut nyawa apabila tali keselamatan saya tidak dipasang pada peluncur.

"Selama dua minit 14 saat saya berpaut pada besi. Proses mendarat amat sukar tetapi saya terus hidup untuk memberitahu anda pengalaman ngeri saya ini," katanya.

peluncur angin

Artikel Lain