PENCIPTA siri kartun popular SpongeBob Squarepant, Stephen Hillenburg meninggal dunia pada Isnin. Hillenburg, 57, disahkan menghidap penyakit berkaitan sistem saraf, Amyotrophic lateral sclerosi (ALS) sekitar Mac 2017. Kematian itu disahkan oleh Nickelodeon menerusi satu kenyataan ringkas pada hari sama. "Kami sangat sedih untuk memberitahu Stephen Hillenburg akhirnya meninggal dunia selepas berperang dengan penyakit ALS. "Dia disayangi kawan-kawan, rakan sejawat di Nickelodeon dan kami menzahirkan simpati untuk keluarganya. "Dia mencipta watak SpongeBob Squarepants yang kelakar dan unik, ia sememangnya membawa kegembiraan kepada ramai orang termasuklah kanak-kanak dan seluruh ahli keluarga," ujar mereka menerusi kenyataan tersebut. Malah kata pihak Nickelodeon, hasil imaginasinya yang mencipta Bikini Bottom iaitu lokasi utama dalam siri kartun berkenaan menunjukkan betapa hebatnya imaginasi dan kreativiti Hillenburg. Dia merupakan lepasan Universiti Humboldt State dan menamatkan pengajian pada 1984. Pada mulanya dia bekerja sebagai guru marin di Institut Marin Orange County di Dana Point, California sebelum mula membuat ilustrasi kartun SpongeBob. Dia bekerja sebagai pengarah dan penulis di televisyen untuk siri Nickelodeon, Rocko's Modern Life pada 1993 hingga 1996. Bertitik tolak di situ, dia mula mengusahakan SpongeBob secara sepenuhnya sebelum episod pertama disiarkan pada 1 Mei 1999. Selain SpongeBob, siri itu turut popular dengan watak Squidward, Mr Krabs, Patrick, Sandy dan Plankton.- Daily Star.