DALAM kalangan kita pasti ada yang pernah berhadapan dengan gangguan tikus di rumah sendiri. Malah, ada yang bertindak memasang perangkap untuk menghapuskan haiwan tersebut. Namun, lain pula ceritanya dengan seorang jurufoto, Simon Dell yang ternyata gembira dengan kehadiran sekumpulan haiwan itu di kediamannya. Simon mengambil keputusan untuk membina perkampungan mini untuk dijadikan sebagai rumah kepada tikus-tikus berkenaan. Lebih menarik, dia juga menjadikan tikus-tikus berkenaan sebagai model dan subjek utama fotografi. Comel dan menghiburkan. "Pada suatu harti saya sedang ambil gambar burung di taman liar ruamh dan nampak sesuatu di atas tanah. "Saya halakan kamera dan ternyata tikus-tikus itu kelihatan gembira, mereka sangat comel. "Dari situ saya tahu mereka boleh jadi 'bintang' untuk gambar-gambar saya," ujarnya. Bertitik-tolak dari peristiwa itu, Simon bertindak membina kediaman mini untuk mereka berlindung. Malah katanya, kediaman mini itu juga dibina bagi melindungi keselamatan tikus-tikus berkenaan, khususnya dari ancaman kucing. "Sebelum ini saya ambil gambar hidupan liar, untuk tikus ini, saya mahu ada habitat yang comel untuk mereka, pada masa sama ia juga cantik dalam gambar saya. "Mereka nampak gembira dan selesa dalam rumah-rumah yang saya bina. Saya hanya duduk beberapa meter, halakan lensa, zoom dan boleh ambil gambar," katanya lagi.- Bored Panda.