suria

Video lelaki biar anjingnya robek kucing terlalu menyayat hati, majistret pun tak sanggup nak tengok

Anjing-anjing itu menyerang seekor kucing dan musang. -fotoRSPCA

SEORANG lelaki dipenjarakan selepas rakaman di telefonnya menunjukkan dia membiarkan dua anjingnya merobek seekor kucing.

Joseph Whittam, 28, juga memberi galakan kepada Zip dan Rex untuk merobek seekor musang dan menyerang seekor gerbil.

Video tersebut ditunjukkan di mahkamah dengan rakaman yang begitu jelas sehingga salah seorang daripada hakim majistret terpaksa bangun dan meninggalkan bilik selepas menontonnya.

Kucing berwarna hitam dan putih itu dapat dilihat berada dalam perangkap manakala Zip dan Rex menyalak dan cuba menggigit jaring.

Joseph Whittam. -foto Lancashire Police

Kucing itu kemudian dilepaskan dan Whittam dapat didengar memujuk anjing-anjingnya dengan berkata 'pergi kalahkannya' dan 'bagus, bagus' ketika serangan berterusan.

Pegawai penyiasat khas Jason Bowles berkata: "Ia ngeri dan benar-benar seram. Ramai kakitangan kami di sini, tidak tergamak menontonnya. Salah seorang majistret terpaksa meninggalkan mahkamah selepas menonton rakaman menyayat hati itu.

"Kucing malang itu mati walaupun kami tak menjumpai bangkai dan tak dapat mengesan tuannya.

"Dalam video lain, anjing-anjing itu dapat dilihat menyerang dan menggigit seekor musang. Dalam semua rakaman, Whittam dapat didengar dengan jelas menggalakkan anjing-anjingnya melakukan serangan."

Polis menyerbu rumahnya di Carnforth, Lancashire, selepas intipan, manakala Rex dan Zip diserahkan kepada RSPCA.

Dia dipenjara selama 22 minggu untuk tindakannya yang 'berterusan, sengaja dan tanpa rasa bersalah' dan diperintahkan untuk membayar denda dan kos £490. -MetroUK

dera, haiwan, majistret

Artikel Lain