SEORANG lelaki dari Tianjin, China, didakwa membunuh isterinya semasa percutian keluarga di Phuket, selepas membeli lebih 30 juta yuan (RM18 juta) polisi insurans hayat atas nama isterinya. Memetik laporan Shanghai.ist, suami mangsa bernama Zhang Weifan, membawa isterinya yang lebih dikenali sebagai Xiaojie dan anak perempuan berusia 20 bulan ke Phuket pada akhir bulan Oktober. Pada hari ketiga percutian mereka, ibu bapa Xiaojie menerima panggilan daripada ibu bapa Zhang yang mengatakan Xiaojie lemas di kolam renang persendirian di hotel mewah yang didiami pasangan itu. Ibu bapa Xiaojie berasa curiga kerana dia seorang yang pandai berenang. Selepas melaporkan kematian isterinya, Zhang terbang ke Tianjin di mana dia berhadapan dengan ibu bapa Zhang yang menegaskan untuk membawa mereka ke Phuket. Mereka mendapati mayat Xiaojie mempunyai lebam dan melaporkan mengenai Zhang kepada polis. Semasa dalam siasatan, Zhang mengakui melemaskan isterinya. Ibu bapa Xiaojie mendapati berbulan-bulan sebelum percutian itu, Zhang membeli lebih 2 polisi insurans hayat untuk isterinya, menjadikannya perlindungan berjumlah lebih 30 juta yuan (RM18 juta). Zhang merupakan penama waris tunggal bagi insurans berkenaan. Ibu bapanya memberitahu, mereka mendapati Zhang berpura-pura pergi bekerja setiap pagi tetapi sebenarnya menganggur. Kira-kira158 gigabait pornografi turut ditemui di komputernya. Ibu bapa Xiaojie kini memohon ekstradisi Zhang dari Thailand, percaya dia mungkin dikenakan hukuman mati di China. - The Nation/Asia News Network