suria

Saintis temui bukti planet boleh hilang beberapa bilion tahun dari sekarang

Lakaran konsep sebuah exoplanet dengan orbit paling dekat dengan bintangnya. - NASA, ESA, STSCI

KIRA-KIRA 97 tahun cahaya dari Bumi, sebuah exoplanet berukuran Neptun dilaporkan semakin hilang.

Ditemui pada 2012, GJ 3470b yang berukuran kira-kira empat kali saiz Bumi mengorbit bintangnya pada skala sepersepuluh jarak antara Utarid dan Matahari.

Jarak antara Utarid dan Matahari adalah 57.91 juta kilometer.

Akibat kedekatan jarak tersebut, planet itu semakin menyusut pada suatu kadar, lapor saintis pada Khamis dalam jurnal Astronomi & Astrophysics (radiasi bintang dan angin telah melenyapkan bahagian atmosfera atasnya).

"GJ 3470b kehilangan jisimnya lebih banyak berbanding planet lain yang kita lihat setakat ini, separuh planet itu mungkin hilang hanya beberapa bilion tahun dari sekarang.

"Ini adalah bukti bahawa planet boleh kehilangan sebahagian besar daripada keseluruhan jisimnya," kata penulis bersama kajian itu, David Sing yang merupakan pakar exoplanet di Johns Hopkins dalam satu kenyataan.

Penyelidik yang diketuai oleh ahli astronomi Vincent Bourrier dari University of Geneva mengamati tiga transit GJ 3470b menggunakan Teleskop Angkasa Hubble yang membolehkan mereka mengira kadar penyejatan yang mungkin berlaku di planet tersebut.

Mereka menganggarkan bahawa GJ 3470b mungkin telah kehilangan sebanyak 35 peratus daripada jisimnya sejak ia wujud kira-kira dua bilion tahun lampau.

Semua yang tersisa daripada lapisan tersebut adalah jirim antara bintang yang menyelubungi dunia yang semakin lenyap ini. - Motherboard Vice

planet hilang, GJ 3470b

Artikel Lain