DEDI Heryadi hanya memilik Rp14,000 dalam akaun Bukalapak, sebuah platform e-dagang yang menawarkan peluang memenangi hadiah cabutan bertuah. Pemandu ojek di tengah bandaraya Jakarta ini secara spontan terdetik untuk mencuba nasib menyertai peraduan SerbuSeru dengan membayar Rp12,000 tanpa meletakkan harapan untuk memenangi sebarang hadiah. Tetapi keesokkan harinya, Dedi dikejutkan dengan berita dia adalah pemenang bertuah yang mendapat hadiah utama sebuah Mini Cooper tiga pintu. Dedi memberitahu kompas.com, sebelum ini pernah menyertai peraduan seumpama itu tetapi tidak pernah berjaya. Bagaimanapun, kedudukannya sebagai pemandu ojek menyukarkan dia untuk terus memiliki kereta mewah itu. Sebaliknya, Dedi mendapatkan bantuan Bukalapak untuk menjual kereta itu kerana tidak mampu menjelaskan cukai kenderaan berkenaan. Pengurus Komunikasi Korporat Bukalapak, Evi Andarini berkata, sebagai pemenang Dedi tidak perlu membayar cukai kenderaan itu. Bagaimanapun, katanya, Dedi masih perlu menjelaskan bayaran cukai tahunan serta fi pentadbiran lain. "Cukai kenderaan agak tinggi dan sejak awal lagi dia mahu menjualnya kerana memikirkan kesukaran untuk membiayai cukai jalan setiap tahun," katanya. Dedi menjangka cukai yang perlu dibayar mencecah kira-kira Rp 20 juta dan dengan itu memilih untuk menjualnya supaya dapat membiaya perbelanjaan keluarganya.-Thejakartapost.com