suria

Facebook disaman kerana benarkan data peribadi pengguna diceroboh

Zuckerberg didakwa memberikan akses kepada maklumat peribadi pengguna tanpa kebenaran. - AP

PEGUAM negara Amerika Syarikat di Washington DC memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Facebook pada Rabu yang membenarkan syarikat perlombongan data Cambridge Analytica untuk mengakses data secara tidak wajar daripada 87 juta pengguna sebelum pilihan raya presiden 2016.

Karl Racine, peguam negara District of Columbia, memfailkan tuntutan itu pada Rabu dan mengatakan bahawa Facebook mengelirukan pengguna mengenai keselamatan data mereka dan gagal memantau aplikasi pihak ketiga dengan betul.

Washington menyaman laman web yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg selepas Aleksandr Kogan dari Cambridge University dan syarikatnya, Global Science Research (GSR), melancarkan aplikasi bernama 'thisisyourdigitallife' dan menjual maklumat peribadi para pengguna kepada firma perundingan politik.

Racine berkata laman web milik Zuckerberg membawa pengguna ke laluan bahaya dengan memberikan akses kepada maklumat peribadi mereka tanpa kebenaran.

Peguam Negara tersebut memuat naik di Twitter: "Hari ini saya menyaman Facebook kerana gagal melindungi privasi berjuta-juta pengguna dan menipu mereka tentang siapa yang mempunyai akses kepada data mereka dan bagaimana ia digunakan.

"Pengawasan Facebook yang lemah dan dasar privasi mengelirukan yang membenarkan antara lain, aplikasi pihak ketiga mengumpulkan maklumat peribadi pengguna tanpa kebenaran mereka dan menjualnya kepada Cambridge Analytica, firma perundingan politik."

Aplikasi ini dipromosikan sebagai kuiz personaliti, yang mendakwa untuk menghasilkan profil personaliti.

Tetapi dakwaan Washington secara khusus menyebutkan seramai 340,000 penduduk Columbia yang terdedah kepada risiko berkenaan.

Racine mendakwa dalam saman bahawa hanya 860 individu yang memuat turun kuiz tersebut, namun terdapat ramai yang terdedah kepada risiko apabila berkongsi maklumat peribadi mereka. - Daily Mail

Facebook, Mark Zuckerberg

Artikel Lain