FLORIDA: Tindakan seorang lelaki menggunakan sistem barter dengan menyerahkan ganja untuk membeli makanan yang di laluan pandu masuk McDonald membawa padah. Jabatan Polis Port St. Lucie mendedahkan perbuatan pemuda berusia 23 tahun itu menerusi laman Facebook pada 17 Disember lalu. Lelaki yang dikenali sebagai Anthony Gallagher yang memandu kereta jenis Pontiac itu telah ditahan pada pukul 2 pagi. Dalam kejadian itu, Gallagher yang gagal dalam cubaannya membeli makanan selepas pekerja premis makanan segera itu enggan menerima ganja yang diberinya memandu meninggalkan lokasi. Bagaimanapun, beberapa ketika kemudian dia kembali ke premis sama dan ditahan polis yang ke lokasi sebaik dimaklumkan mengenai perbuatannya. "Siasatan mendapati ada kira-kira 11 gram ganja dalam kereta suspek," kata jabatan polis berkenaan. Ketika ditahan, pemuda itu berkata dia hanya berseloroh ketika menawarkan ganja sebagai pertukaran untuk membeli makanan di premis itu. Bagaimanapun dia tetap ditahan kerana memiliki dadah berkenaan. - Philippine Daily Inquirer/Asia News Network