SEORANG pakar bedah membunuh bekas isterinya dengan cara menolaknya dari tebing dan selama tujuh bulan berikutnya dia mengemas kini media sosial mangsa bagi merahsiakan pembunuhan itu, kata polis. Dr Dharmendra Pratap Singh kini ditahan berhubung kematian Rakhi Srivastava selepas didakwa memberikan dadah kepada mangsa. Bekas isterinya hilang pada Jun lalu, tidak lama selepas berkahwin semula, setelah bercerai dengan Dr Dharmendra. Suami baharunya merupakan suspek awal tetapi polis di Gorakhpur, India, menahan Dr Dharmendra dan dua rakan kongsi yang disyaki, pada Jumaat lalu. Polis memberitahu Dr Dharmendra kerap menukar status Facebook Srivastava menggunakan telefonnya sejak beberapa bulan lepas bagi menipu mereka. Bagaimanapun, telefon mangsa ditemui pada Oktober lalu. "Ia membuatkan Dr Dharmendra sebagai suspek utama," menurut sumber polis. "Bagaimanapun, selepas membunuh Rakhi, mereka terus mengemaskini akaun media sosial miliknya menggunakan telefon mudah alih mangsa," katanya. Siasatan berhubung kes diteruskan. - Mirror Online