suria

Lelaki ini serik, dua kali tertipu pindah wang ke akaun 'wanita cantik' di FB dalam tempoh sebulan lebih

Sorrachat Phonwattana. -foto Facebook

SEORANG lelaki Thailand berusia 31 tahun yang menjadi tajuk utama kerana terpedaya dan memindahkan wang sebanyak 89,000 baht (RM11,410) kepada seorang wanita yang ditemuinya melalui aplikasi janji temu ditipu buat kali kedua.

Ia berlaku hanya sebulan selepas kejadian malang itu menimpa dirinya dan kali ini oleh wanita lain tetapi menggunakan kaedah sama.

Sorrachat Phonwattana, yang mendapat gelaran 'Natt, saluran wang segera' dari media Thailand yang melaporkan kes pertamanya membuat laporan polis, Rabu lepas.

Dia mendakwa kali ini dirinya ditipu sebanyak 36,100 baht (RM4,628) oleh seorang wanita di Facebook yang menggunakan nama Thanthorn.

Selepas Sorrachat memasukkan wang ke akaun Thanthorn, wanita itu terus hilang dan tidak menghiraukan mesej-mesejnya.

Sorrachat kemudian meminta bantuan dari laman '123 Good Samaritan', sebuah laman Facebook yang dikendalikan oleh agensi berita tempatan T News.


Laman ini membantu pengguna menyelesaikan masalah peribadi masing-masing dengan menghubungkan mereka dengan agensi-agensi kerajaan yang relevan yang mungkin dapat membantu mereka.

Posting kisah dirinya ditipu buat kali kedua disiarkan pada 13 Disember lepas.

Selepas disiasat, Sorrachat sebenarnya telah memindahkan wang kepada seorang wanita bernama Pongpan Boonchai.

Lebih mengejutkan, wajahnya langsung tidak kelihatan seperti wanita cantik dalam gambar profil Facebook palsu yang telah dibuka untuk menipu Sorrachat.

Sorrachat memberitahu pemberita bahawa dia telah bersemuka dengan Pongpan yang berjanji untuk memulangkan wangnya dan memohon agar dia tidak mengheretnya ke balai atau mendedahkan butiran peribadinya kepada media.

Lelaki itu berkata dia telah meminta wang itu dipulangkan selewat-lewatnya pada Isnin (17 Disember), tetapi usahanya sia-sia.

Sorrachat berkata, dua kali ditipu di media sosial telah menjadi pengajaran bernilai dan dia kini akan memindahkan semua baki wangnya ke akaun bapanya dan memutuskan untuk mengambil hanya 10,000 baht (RM1,282) sebulan.

Dengan cara ini, dia berkata, dia tidak dapat 'meminjamkan' wang kepada mana-mana wanita cantik yang ditemui dalam talian. -Coconuts

tipu, wang segera, scam

Artikel Lain