suria

Remaja sakit kronik bertuah masuk pesawat presiden Putin, dedah mangkuk tandas emas

Pesawat presiden Rusia kelihatan seperti rumah mewah. Foto Aleksey Kungurov/EAST2WEST NEWS

SEORANG remaja yang menghidap penyakit kronik mendedahkan bagaimana keadaan di dalam pesawat mewah Vladimir Putin bernilai £390 juta (RM2.06 bilion).

Arslan Kaipkulov, 15, dibenarkan memasuki pesawat Presiden Rusia itu jenis Ilyushin Il-96-300, dan pemimpin itu menghadiahkannya sebuah kamera.

Pemimpin Rusia itu secara peribadi menunaikan impian remaja berkenaan yang fanatik terhadap penerbangan.

Bilik tidur di dalam pesawat. Foto Aleksey Kungurov/EAST2WEST NEWS

Putin turut menghadiahkannya sebuah kamera video untuk membuat rakaman di dalam pesawat presidennya.

Remaja tersebut berjaya merakamkan imej-imej sensitif seperti tempat duduk mangkuk tandas yang dilitupi emas, sebagaimana yang diperkatakan menerusi khabar angin.

Arslan juga berpeluang merakamkan katil Putin dan tempat penyimpanan minuman keras.

Tempat duduk mangkuk tandas yang dikatakan dilitupi emas. Foto Aleksey Kungurov/EAST2WEST NEWS

Bagaimanapun, dia tidak dibenarkan menunjukkan sesetengah bahagian yang sulit di dalam pesawat mewah itu.

Arslan menghidap penyakit berkaitan dengan gangguan sistem imun.

Katanya: "Ini adalah pesawat rahsia negara, satu penghormatan bagi saya berada di dalamnya."

Arslan Kaipkulov menikmati hidangan teh di dalam pesawat Putih. Foto Aleksey Kungurov/EAST2WEST NEWS

Pesawat tersebut merupakan salah satu yang paling mewah di dunia dan dikatakan mempunyai tandas dilitupi dengan emas, sebuah katil besar bersaiz 'king' dan sebuah gim.

Ia juga mempunyai bilik mesyuarat dengan hiasan emas dan dikelilingi kerusi kulit warna krim.

Arslan, dari wilayah Bashkortostan di Rusia bersama ibunya, Venera Kaipkulova, 36, turut melihat bagaimana pemeriksaan pra-penerbangan dibuat di bahagian orang kenamaan (VIP) di Lapangan Terbang Vnukovo di Moscow.

Pesawat Putin turut dilengkapi kemudahan gim. Foto Aleksey Kungurov/EAST2WEST NEWS

Dia diberitahu mengenai juruterbang perlu menjalani ujian perubatan sebelum menerbangkan pesawat presiden Rusia.

Lawatan ke dalam pesawat mewah itu dianjurkan oleh projek 'Dream With Me' yang bertujuan untuk menunaikan impian kanak-kanak yang berada dalam keadaan yang boleh mengancam nyawa mereka.

Ibunya berkata: "Ia merupakan satu keajaiban yang sebenar. Kami amat berterima kasih kepada projek 'Dream With Me'. Berbanyak terima kasih kepada presiden." - Mirror Online

Vladimir Putin, pesawat mewah

Artikel Lain