suria

Perenang ditikam selepas ucap 'go to hell' kepada kekasih, beri alasan mahu fokus Olimpik untuk putus

Safia Askarova, maut ditikam bekas kekasih. -east2westnews

SEORANG perenang muda Rusia ditikam dengan kejam oleh bekas teman lelakinya yang tidak dapat menerima hakikat mereka telah berpisah.

Safia Askarova, 16, maut selepas memberitahu Nikita Malygin bahawa dia ingin menumpukan perhatian terhadap kerjaya sukannya, dalam usaha untuk menang pingat Olimpik.

Malygin, yang juga seorang perenang elit tetapi kurang berjaya dalam kariernya, dengan kejam menikam leher, dada dan perut Askarova sekurang-kurangnya 30 kali dalam kejadian berhampiran kawasan kediamannya di Tolyatti, menurut penyiasat.

Seorang rakan pasangan itu mendakwa Malygin cemburu selepas mengesyaki Askarova semakin rapat dengan seorang lelaki lain.

Sumber lain berkata Askarova mahu menumpukan perhatian kepada kerjayanya dalam sukan renang dan memberikan alasan ini untuk mengakhiri hubungan mereka.

Dalam satu video menyeramkan di lokasi kejadian jenayah yang bersalji, Malygin mengaku membunuhnya, mendakwa gadis itu berkata 'go to hell' apabila dia merayu untuk hubungan mereka diteruskan.

Membuat lakonan semula serangan menggunakan pisau pada patung, dia mengaku kepada penyiasat: "Saya hilang kawalan."

"Saya keluarkan pisau. Saya tak dapat ingat di mana saya menikamnya. Saya hanya ingat tikaman itu selepas dia rebah."

Tambahnya: "Dia cuba melarikan diri, tapi saya terus menikamnya. Saya buang pisau di kawasan berhampiran. Pada mulanya saya tak sedar apa yang saya dah buat. Saya menyedarinya hanya dalam perjalanan pulang."

Lokasi kejadian. Mayat Askarova ditemui di belakang zink.

Askarova, perenang kuak kupu-kupu adalah naib juara dalam kejohanan remaja seluruh Rusia bagi 2017 dan baru-baru ini mengambil bahagian dalam kejohanan renang 'Reserves of Russia'.

Pada hari kejadian, dia memberitahu ibu bapanya bahawa dia mahu ke kedai, sebaliknya pergi bertemu Malygin.

Satu sumber berkata: "Kemudian saudara-maranya risau dia tidak kembali dan menghubungi telefon bimbitnya tetapi disekat."

Pada pukul 10 malam, 23 Disember, mayatnya ditemui.

Pisau ditemui di tempat kejadian, iaitu tapak bangunan terbengkalai.

Malygin ditahan tidak lama selepas kematiannya, menurut sumber. -Mail Online

cemburu, perenang, tikam, Safia Askarova

Artikel Lain