suria

Ahli fisioterapi cederakan pakar bedah dengan gelas wain kerana disamakan dengan orang utan

Paul menyamakan Sara dengan orang utan. - Gambar hiasan/pixabay

SEORANG ahli fisioterapi memukul kepala pasangannya yang merupakan seorang pakar bedah ortopedik dengan segelas wain selepas lelaki tersebut membandingkannya dengan orang utan.

Sara Knight dari Edinburgh, Scotland ditahan oleh pihak polis pada keesokan harinya dan berdepan risiko kehilangan jawatan di jabatan rawatan rapi sebuah hospital di daerah Fife.

Bagaimanapun, polis membebaskan wanita berusia 45 tahun itu dan serangan tersebut tidak akan ditulis dalam rekod kerja Sara.

Sara dan pasangannya, Paul Gaston telah berkunjung ke perkampungan Berwickshire di Coldingham untuk menyambut tahun baharu bagi membincangkan tentang hubungan mereka.

Namun Mahkamah Selkirk Sheriff diberitahu, pertengkaran antara mereka menjadi bertambah tegang pada Hari Tahun Baharu selepas Paul menyamakan teman wanitanya dengan orang utan.

Pemandangan di salah sebuah kampung yang terletak di Berwickshire. - Long For Marcus

Peguam fiskal Graham Fraser berkata: "Mereka telah keluar ke Coldingham pada siang hari dan kembali pada pukul 3 petang. 

"Encik Gaston memberikan beberapa komen yang kurang menarik tentang penampilan Sara dan perasaannya tersinggung. 

"Dia telah menyamakannya dengan orang utan dan situasi telah menjadi daripada buruk kepada lebih teruk.

"Sara kemudian pergi ke sebuah bilik tidur untuk menenangkan diri dan Paul masuk untuk bercakap dengannya.

"Paul memegang segelas wain merah dan meletakkannya ke bawah, tetapi diambil semula oleh Sara yang kemudian memukul gelas itu ke kepala pasangannya."

Sara mencederakan Paul dengan segelas wain. - Gambar hiasan/pixabay

Tambah Graham, serangan itu menyebabkan lengan Paul mengalami luka.

Sara kemudian menghantar pesanan ringkas untuk memohon maaf, namun hubungan mereka tidak dapat diselamatkan.

Punca pergaduhan mereka dilaporkan berpunca daripada Paul yang jarang meluangkan masa bersama ibu kepada anak-anaknya itu.

Sara turut mengaku bersalah kerana mencederakan pasangannya.

Memandangkan ini merupakan kesalahannya yang pertama dan Sara memiliki rekod pekerjaan yang baik, Sherrif Derrick McIntyre memerintahkan agar dia dibebaskan sambil menjelaskan: "Adalah memalukan jika NHS (perkhidmatan kesihatan negara) hilang kepakaran anda disebabkan perkara ini." - Scotsman

orang utan

Artikel Lain