KEJAM dan tidak berperikemanusiaan adalah perkataan paling tepat bagi menggambarkan tindakan seorang lelaki yang membunuh anak kepada teman wanitanya, baru-baru ini. Menerusi kejadian di Croydon, selatan London itu, Stephen Waterson dengan sengaja mengundurkan kerusi kereta sebanyak dua kali gara-gara mangsa membuat bunyi bising di tempat duduk belakang. Selain Waterson, ibu kepada kanak-kanak berusia tiga tahun itu turut didakwa kerana tidak menghentikan tindakan teman lelakinya. "Kesan hentakan kerusi itu, mangsa yang bernama Alfie Lamb mengalami sesak nafas. "Waterson sengaja mengundurkan kerusi dengan laju kerana dia mahu mangsa yang ada di belakang diam. "Dia berang kerana mangsa tidak berhenti membuat bunyi bising sepanjang perjalanan itu," ujar pendakwa raya, Duncan Atkinson. Pada awalnya, Waterson dan ibu mangsa cuba menipu apabila mereka membuat laporan bahawa Lamb tidak sedarkan diri secara tiba-tiba, pada Februari tahun lalu. "Kami naik teksi dan letak dia di tempat duduk kanak-kanak. Dia tidur dan tak sedarkan diri apabila dikejutkan," ujar ibunya, Adrian Hoare yang cuba menipu pihak berkuasa. Mereka kini masih lagi dibicarakan dan belum membuat pengakuan ke atas pertuduhan itu. - News Sky.