SEBUAH keluarga dari Britain yang sedang melancong di New Zealand menerima kecaman teruk daripada rakyat negara itu. Bukan satu atau dua, malah hampir 10 kesalahan yang dilakukan keluarga itu ditularkan orang ramai, sejak mereka tiba. Selain bersikap kasar terhadap petugas hotel dan restoran, penumpang yang menaiki pesawat dengan 13 ahli keluarga itu menyifatkan mereka sebagai mimpi ngeri. Sehingga kini, 2,500 individu dari New Zealand sudah pun menandatangani petisyen untuk mengusir mereka keluar dari negara mereka. Antara kesalahan lain yang disenaraikan ialah membuang sampah di pantai, membuat kekecohan dalam pesawat dan enggan membayar makanan di sebuah restoran dan bar. Sampah yang tidak dibuang oleh keluarga itu di sebuah pantai. Selain itu, mereka turut berjalan di laluan pandu lalu sebuah restoran serta merampas telefon wartawan sebelum membuang video yang merakam perbuatan mereka. Menurut laporan, mereka sekeluarga berasal dari Liverpool. "Setelah pesawat mendarat, mereka meninggalkan pakaian bayi mereka, saya rasa ada najis sebab bau sangat busuk," ujar salah seorang penumpang yang menaiki pesawat dengan keluarga itu. Dalam pada itu, keluarga berkenaan menafikan segala berita yang dilaporkan mengenai mereka. Menerusi satu temu bual dengan Herald, mereka mengakui terkejut dengan segala dakwaan itu. "Memang kami ada buat kecoh, tapi kami bukan orang Gypsy. "Kami warga Britain dan diserang di pantai. Mereka rakam kami dan masukkan ke Facebook," ujar salah seorang ahli keluarga itu. Malah katanya, dia berasa seperti tidak dialu-alukan di negara itu. - Mirror.UK.