PRESIDEN Joko Widodo mengesahkan telah bersetuju untuk membebaskan pengganas yang sedang menjalani hukuman penjara, Abu Bakar Bashir. Alasan kemanusiaan diambil kira Jokowi semasa memutuskan untuk membebaskan Abu Bakar yang masih belum menjalani hukuman sepenuhnya. "Ya, yang pertama memang alasan kemanusiaan ertinya beliau kan sudah tua, juga kerana keadaan kesihatannya," katanya ketika meninjau Pondok Pesantren Darul Arqam di Garut, Jumaat. Jokowi mengakui, keputusannya untuk bersetuju dengan pembebasan Abu Bakar ini adalah hasil perbincangan dengan pihak perundangan negara itu, Yusril Ihza Mahendra. Sebelum itu, perkara sama telah diketengahkan untuk perbincangan di peringkat dalaman pemerintah. "Ini sebuah pertimbangan lama, sejak awal tahun lalu," katanya lagi. Abu Bakar yang disyaki mendalangi pengeboman di Bali pada 2002 telah dijatuhi hukuman 15 tahun penjara oleh Majlis Hakim Pengadilan Jakarta Selatan pada 2011.-Tribunnews.com