suria

Jepun lancar satelit hasilkan hujan meteor palsu

AGENSI angkasa lepas Jepun melancarkan roket yang membawa satelit sempena projek hujan meteor yang bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Menerusi dua satelit mikro itu, ia berupaya menghasilkan hujan meteor buatan manusia.

Ia dijangka menghasilkan visual memukau seolah-olah berlaku percikan cahaya dalam saiz mega di langit Hiroshima, pada 2020.

Menurut pengendalinya, Astro Live Experiences (ALE), mereka mahu membawa elemen hiburan ke satu tahap baharu dengan teknologi itu.

"Kanvas langit, projek meteor palsu pertama di dunia, bertujuan untuk bawa ramai orang datang ke sini dan rasai sendiri pengalaman itu.

"Menggunakan ruang angkasa sebagai pentas, kami akan membawa hiburan luar biasa, hasil idea pakar-pakar kami," ujar ALE.

Mengikut perancangan, mereka akan melepaskan bebola ke atmosfera bumi untuk menghasilkan proses pemancaran plasma (plasma emission) yang meniru hujan meteor.

Malah kata mereka, bebola berkenaan tidak akan mencederakan manusia kerana ia akan habis terbakar di langit.

"Kami sasarkan seluruh dunia, kami mahu ia dinikmati dan boleh dilihat di seluruh dunia," ujar pegawai eksekutif ALE, Lena Okajima. - The Indipendent.

Jepun, Satelit, Meteor

Artikel Lain