SEORANG wanita yang mendakwa dirinya sebagai manusia tertua meninggal dunia di Pergunungan Caucasus. Dalam pasportnya, umur Nanu Shaova ditulis 128 tahun. Dia didaftarkan sebagai individu tertua dalam Book of Records Rusia dua tahun lalu. Nanu mendakwa dia mengamalkan minum campuran yogurt dan air sejuk. Wanita itu yang pernah dua kali berkahwin dikurniakan lapan anak, 19 cucu dan 33 cicit. Pada tahun lalu, dia diiktiraf sebagai pengundi tertua semasa pilihan raya presiden Rusia. Anaknya Hussein memberitahu ibunya tidak mempunyai sebarang diet khas. "Dia hanya kata apa yang penting adalah melakukan banyak kerja. "Semakin banyak anda bekerja, anda semakin sihat. "Terdapat juga genetik di dalamnya, ibunya, nenek saya yang hidup sehingga berusia 117 tahun," kata Hussein.