JURUTERBANG yang dikhuatiri maut bersama pemain bola sepak Emiliano Sala selepas pesawat mereka hilang pada Isnin dinamakan sebagai Dave Ibbotson. Pekerja penyelamat yang melakukan carian pesawat hilang itu pada Selasa berkata setakat ini mereka masih tidak dapat menjejaki pesawat tersebut. Usaha carian diteruskan pada Rabu selepas rakaman audio yang didakwa dihantar oleh Sala dari pesawat yang dinaikinya itu dikongsi di media Argentina. Pemain bola sepak itu dapat didengar berkata dia 'takut' dan dia 'menaiki sebuah pesawat yang akan terhempas menjadi serpihan'. ARTIKEL BERKAITAN: Emiliano Sala sempat hantar mesej kepada rakan, luah rasa takut sebelum pesawat hilang Emiliano Sala. -foto Instagram Ibbotson, 60, beberapa hari sebelum penerbangan itu pula didakwa memberitahu kawan-kawannya bahawa dia berasa sistem pendaratannya seperti sudah 'sedikit berkarat'. Melakukan 'check in' pada Facebook di Lapangan Terbang Nantes di mana pesawat hilang itu berlepas pada Isnin, Ibbotson berkata kepada seorang rakan menerusi ruangan komen di Facebook: "Saya rasa sudah agak berkarat dengan ILS (Instrument Landing Sistem). Di Perancis sekarang, saya akan jumpa kamu apabila saya kembali, giliran kamu pula untuk beli kopi." Rakannya menjawab: "Berkarat dengan ILS?! Macam tak percaya!" Ibbotson menambah: "Kamu nak bertaruh, sedikit di bahagian tinggi hehe, lebih baik dari di bahagian rendah." Bercakap pada Rabu, ketua pasukan penyelamat berkata keadaan laut akan mengurangkan kemungkinan mangsa yang selamat dijumpai. Ketua pegawai Channel Islands Air Search, John Fitzgerald berkata: "Saya tak dapat melihat bagaimana seseorang dapat bertahan dalam suhu sedemikian untuk tempoh masa ini. "Melihat keadaan laut hari ini, ia sangat mencabar, angin bertiup kencang, dengan keadaan laut yang sangat mengerikan." Polis Guernsey berkata pekerja penyelamat telah melancarkan tiga pesawat dan sebuah helikopter dalam usaha mencari pesawat yang hilang. Polis berkata, pekerja penyelamat mengutamakan kemungkinan kapal terbang mendarat di atas air dan rakit digunakan. Imej satelit dan data telefon bimbit juga dikaji semula untuk membantu carian. Keputusan sama ada diteruskan akan diambil pada hari ini, kata polis. -MetroUK