SEORANG penguasa sekolah berdepan dengan tindakan undang-undang apabila didakwa melakukan penipuan menggunakan insuran sendiri bagi membantu pelajarnya yang tidak sihat. Penguasa Casey Smitherman di sebuah sekolah komuniti di Elwood didakwa berkaitan dengan penyataan palsu insuran, penipuan identiti dan salah guna kuasa pada Rabu lalu. Dia dibebaskan dengan ikat jamin. Smitherman berkata, dakwaan itu dibuat selepas dia selalu pergi ke rumah salah seorang pelajarnya yang tidak hadir ke sekolah kerana dilihat mengalami tanda-tanda sakit tekak. Selepas pelajar itu menolak untuk mendapatkan rawatan di klinik, dia membawa ke klinik yang kedua dan kali ini dia memberitahu bahawa pelajar itu adalah anaknya. "Saya sangat komited dengan komuniti serta pelajar-pelajar dan kesal jika tindakan tersebut telah disalah erti. "Sejak awal lagi tujuan saya adalah untuk menyediakan suasana yang terbaik bagi perkembangan pelajar di Elwood dari segi fizikal, mental dan akademi. Saya kekal fokus dengan tujuan asalnya," jelasnya dalam satu kenyataan oleh Fox 59. Menurut laporan mahkamah, Smitherman mendapat preskripsi Amoxicillin untuk pelajar berusia 15 tahun yang diletakkan nama anaknya. Tambah Smitherman dia sangat mengambil berat terhadap pelajarnya yang tidak hadir ke sekolah sejak awal bulan ini. Dia juga turut membantu pelajar itu dengan membeli pakaian serta membersihkan rumah anak muridnya itu. Tindakan Smitherman itu mendapat sokongan daripada ahli lembaga presiden sekolahnya.-Yahoo.com