SEORANG ibu mengambil dadah berlebihan sehingga bayinya yang berusia tujuh bulan khayal. Alyssa Murch, 20, ditangkap selepas anaknya ditemui tidak sedarkan diri selepas minum susu ibu yang didakwa mengandungi dadah jenis syabu. Pihak berkuasa bertindak balas terhadap aduan Pusat Perubatan Utama Northern Light Timur di Bangor, Maine pada 16 Disember lalu, yang mana mereka mendapati bayi berkenaan mengalami masalah 'overdose'. "Pada usia tujuh bulan, tidak banyak cara ia boleh berlaku dan siasatan akhirnya mendedahkan ia diperolehi melalui susu ibu," polis Bangor Sarjan Wade Betters memberitahu Fox 22. Bayi itu kembali sedar ketika polis tiba dan dibawa ke bilik kecemasan untuk rawatan. Ketika dihubungi oleh Metro AS, Murch berkata: "Saya mahu dunia tahu kebenaran." Dia bagaimanapun tidak menjawab mesej pada masa dia bersetuju untuk ditemubual dan sejak itu enggan ditemubual. Walaupun siasatan polis menyimpulkan penyebab 'overdose' itu adalah susu ibu, seorang doktor di Pusat Perubatan Northern Light percaya bayi itu telah makan dadah. Dr Jonathan Wood berkata kesan dadah itu melalui susu ibu adalah mungkin, tetapi dia menambah adalah perkara biasa untuk kanak-kanak terjejas selepas memakannya. Menurut Dr Wood, bayi tidak akan mengalami sebarang kesan jangka panjang disebabkan terdedah dengan dadah melainkan jika bayi itu terjejas oleh salah satu simptom overdose, seperti kekurangan oksigen ke otak atau masalah pernafasan. Tidak ada penawar untuk kanak-kanak yang 'overdose' jadi doktor hanya merawatnya dengan memberikan penjagaan sokongan dan membantunya mencari persekitaran selamat sehingga bahan itu meninggalkan sistem secara semulajadi. Murch telah didakwa melakukan jenayah dadah dan membahayakan kebajikan seorang kanak-kanak. Dia akan muncul di mahkamah pada 20 Februari. -MetroUK