suria

Pesawat berlegar-legar di udara beberapa jam sebelum patah balik, syarikat penerbangan enggan dedah sebab sebenar

Gambar hiasan. - Foto Country 102.5

PENERBANGAN tanpa henti dari Los Angeles ke Maui di Hawaii berubah menjadi mimpi ngeri selepas pesawat itu berpatah balik sebanyak tiga kali sebelum dibatalkan.

Penerbangan Hawaiian Airlines 33 yang menuju ke Lapangan Terbang Kahului Maui berlepas dua kali pada Jumaat, namun ia mendarat semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles selepas terbang selama beberapa jam.

Apabila pesawat itu sekali lagi cuba berlepas buat kali ketiga, ia terpaksa kembali ke Los Angeles dan akhirnya terpaksa dibatalkan.

Hawaiian Airlines tidak memberi maklum balas kepada media selepas dihubungi pada Ahad, tetapi pengurus kanan syarikat penerbangan itu, Alex Da Silva memberitahu CNN bahawa pesawat tersebut kembali mendarat kerana isu sistem yang tidak berkaitan.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu tidak menjelaskan secara spesifik tentang punca masalah insiden tersebut berlaku.

Imej daripada flightradar24.com menunjukkan pesawat itu berpatah balik kurang satu jam selepas berlepas dan menghabiskan masa selama satu jam untuk kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.

Pada cubaan lain, pesawat tersebut terbang selama lima jam setengah dengan membuat pusingan berulang kali di Lautan Pasifik.

Pesawat itu mendarat semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles selepas melakukan penerbangan sejauh hampir 4,000 kilometer (km).

Syarikat penerbangan tersebut turut memohon maaf kepada 200 penumpang yang menaiki pesawat terbabit dan menegaskan bahawa keselamatan adalah keutamaan mereka.

"Keselamatan adalah keutamaan kami dan kami memohon maaf di atas masalah yang berlaku terhadap semua penumpang.

"Kami faham dengan kekecewaan penumpang dan amat kesal dengan rancangan perjalanan mereka yang terganggu," kata syarikat tersebut.

Syarikat penerbangan itu juga berkata, sebagai balasan, penumpang akan menerima bayaran balik serta kredit bernilai 100 dolar Amerika (RM409) bagi penerbangan seterusnya. - SCMP

Hawaiian Airlines

Artikel Lain