PERJALANAN 320 kilometer (km) yang dilalui semata-mata untuk menemui ibunya yang cedera di rumah tiba lebih awal daripada ambulans. Mark Clements menaiki bas, kereta api bawah tanah, dua tren dari London ke Exmouth, Devon selepas mendapat berita ibunya yang berusia 77 tahun terjatuh dan tulang pinggulnya patah. Susulan itu, panggilan kecemasan 999 dibuat pada pukul 9 pagi tetapi pasukan perubatan hanya tiba tujuh jam kemudian. Perkhidmatan Ambulans Barat Daya memohon maaf kerana pihaknya mendapat jumlah panggilan kecemasan yang tinggi. "Ibu saya dalam keadaan tidak selesa selepas terjatuh dan tidak dapat bergerak," katanya yang terkejut apabila dia dan keluarganya tiba lebih awal berbanding pasukan perubatan. Clements mengambil masa tiga jam 40 minit untuk perjalanan dari London ke Exmouth, tiba di rumah ibunya pada pukul 3.10 petang, kira-kira 50 minit sebelum ambulans tiba. Tambah mengejutkan ramai, panggilan kecemasan untuk mendapatkan khidmat ambulans yang dibuat enam kali itu hanya tiba selepas tujuh jam walaupun stesennya kurang 10 minit dari kediaman ibu Clements. "Ibu saya seorang yang kuat semangat dan sungguh menyedihkan melihatnya dalam kesakitan dan terpaksa menunggu lama untuk mendapat rawatan," katanya. Menurut perkhidmatan itu, ibu Clements dikategorikan pesakit tahap empat yang tidak memerlukan rawatan segera kecuali pengangkutan ke hospital.