suria

Derita anak 'hilang darah' angkara ibu sakit mental sejak lima tahun lalu berakhir

SEORANG ibu dipenjarakan selama empat tahun selepas perbuatannya mengeluarkan lebih satu pain darah anak lelakinya yang dilakukan sekali seminggu sejak lima tahun lalu terbongkar.

Sebuah mahkamah di Herning, Denmark berkata ibu berusia 36 tahun itu yang juga seorang jururawat terlatih, mengeluarkan darah anaknya menggunakan kateter sejak berusia 11 bulan hingga enam tahun.

Malah dia memberitahu doktor bahawa masalah kekurangan darah anaknya disebabkan penyakit sum sum tulang yang jarang ditemui.

Mahkamah berkata doktor mengesyaki ada sesuatu tidak kena dengan masalah dialami kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dan memaklumkan perkara tersebut kepada polis.

Polis kemudian merakam setiap gerak-geri wanita itu secara senyap.

Laporan psikiatri mendedahkan wanita itu mengalami sindrom Munchausen iaitu penyakit mental dimana penjaga membuatkan anak mereka sakit untuk mendapat perhatian.

"Ia bukan keputusan yang saya buat. Saya tidak tahu bila saya mula melakukan sesuatu yang saya tidak patut lakukan.

"Ia berlaku secara perlahan-lahan. Saya mengepam darah yang dikeluarkan ke dalam tandas dan membakar picagari di dalam tong sampah," kata wanita itu.

Ketika ditanya mengapa dia melakukan perbuatan tersebut, ibu tunggal itu berkata:"Saya harap saya dapat beri anda jawapannya tetapi saya tak boleh."

Polis memasang kamera CCTV di kediaman wanita itu dan melihat perbuatannya mengalirkan darah ke dalam sembilan picagari dari dada anaknya.

Meskipun berdepan detik hitam dalam hidupnya, kanak-kanak malang itu dilaporkan sihat dan kini tinggal bersama bapanya.

Identiti wanita itu bagaimanapun tidak didedahkan. - Metro.co.uk

darah, picagari

Artikel Lain