DRAMA 24 jam politik Thailand berakhir dengan tiba-tiba pada Sabtu apabila sebuah parti yang mencalonkan seorang puteri untuk bertanding sebagai perdana menteri menamatkan pencalonan tersebut. Langkah itu berlaku selepas adinda puteri tersebut, Raja Thailand bertindak menyerang pencalonan itu sebagai tidak berperlembagaan. Parti Thai Raksa Chart (Selamatkan Thailand) bersumpah kepada Raja Maha Vajiralongkorn dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas campur tangan baginda pada lewat malam. Kenyataan itu juga mengucapkan terima kasih kepada Puteri Ubolratana Mahidol atas kebaikannya terhadap parti itu. Kerjaya politik Ubolratana yang singkat itu menggemparkan Thailand. Puteri tersebut dicalonkan untuk mewakili parti yang bersekutu dengan hartawan dan mantan perdana menteri Thaksin Shinawatra. Sokongan meluas terhadapnya dan keturunan kerabat diraja menjadikan baginda calon yang menduduki carta paling atas untuk dilantik menjadi perdana menteri. Raja Maha Vajiralongkorn. - Foto AP Puteri itu berpotensi untuk merapatkan jurang politik antara populis 'baju merah' yang menyokong Thaksin dan setiaraja 'baju kuning' yang konservatif serta bersekutu dengan tentera. Secara tradisinya, monarki yang menjadi institusi paling dihormati di Thailand tidak mencampuri urusan politik kecuali pada masa-masa krisis. Jadi, apabila pencalonan Ubolratana diumumkan, penganalisis mengandaikan bahawa puteri itu mendapat persetujuan tanpa kata-kata daripada adindanya. Kedua-dua adik-beradik itu dipercayai agak rapat, namun apabila puteri itu berkahwin dengan seorang warga Amerika pada tahun 1970-an, baginda terpaksa meninggalkan gelaran kerabat diraja. Tanpa gelaran tersebut, puteri itu mendakwa baginda layak untuk bertanding. Tetapi dalam kenyataan lewat malam Jumaat, Raja Thailand mengecam pencalonannya dan bertindak mengakhiri penamaan tersebut. "Walaupun dia melepaskan gelarannya mengikut undang-undang diraja ... dia masih mengekalkan status dan kedudukannya sebagai ahli dinasti Chakri," kata baginda. - The Guardian