suria

Ibu meraung lihat anak usia 6 tahun disembelih dengan botol kaca ketika lawat Madinah

Zakaria al-Jaber. - Foto Supplied/News AU

SEORANG budak lelaki berusia enam tahun dilaporkan disembelih lehernya selepas penyerangnya mendapati dia berbeza ajaran agama Islam dengannya.

Kejadian mengejutkan yang berlaku di Arab Saudi itu dikatakan dilakukan menggunakan botol kaca yang dipecahkan sambil disaksikan ibu budak lelaki berkenaan ketika mereka dalam perjalanan mengunjungi makam Nabi Muhammad SAW di Madinah.

Saksi-saksi menyatakan bahawa budak lelaki itu yang bernama Zakaria al-Jaber dan ibunya menaiki teksi sebelum ditanya oleh pemandunya sama ada mereka adalah pengikut Muslim Syiah yang mana wanita itu menjawab ‘ya’.

Pemandu itu kemudian menghentikan teksinya dan menyuruh dua beranak itu keluar. Dia kemudian memecahkan botol kaca sebelum melakukan serangan.

Menurut laporan Mail Online, pemandu itu dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

Dalam kejadian ngeri itu, wanita berkenaan kelihatan cuba menyelamatkan anaknya, namun rebah di tengah jalan.

Seorang pegawai polis juga dilaporkan cuba membantu tetapi gagal.

Pemerhati Hak Syiah, sebuah kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di Washington DC, berkata tidak ada campur tangan dari pihak berkuasa Saudi setakat ini.

Mereka menambah bahawa masyarakat Syiah di Arab Saudi sedang berkabung untuk Zakaria di atas kejadian itu dan mendakwa kerajaan gagal melindungi rakyatnya yang mengikut ajaran Syiah.

kaca, Syiah, penggal, sembelih

Artikel Lain