KECOH dua tiga hari ini apabila ramai pengguna Instagram berhadapan dengan situasi kehilangan pengikut (followers) secara tiba-tiba. Perkara itu menjadi tular apabila ia turut menimpa akaun milik selebriti popular seperti Ariana Grande, Justin Bieber dan Kim Kardashian. Dalam tempoh singkat, mereka kehilangan beberapa juta pengikut sehingga menjadi topik perdebatan utama di media sosial. Dalam pada itu, pihak Instagram mengakui wujudnya masalah berkenaan. Menerusi kenyataan terbaharu, Instagram menyatakan pihaknya sedang giat melakukan siasatan untuk memulihkan situasi tersebut. "Kami peka dengan isu perubahan jumlah pengikut yang terjadi ke atas beberapa individu. "Kami sedang bekerja keras untuk menyelesaikannya," ujar pihak Instagram. Selasa lalu, penyanyi Thank U, Next, Ariana Grande hilang tiga juta pengikut secara tiba-tiba. Kim K dan Bieber pula mengalami kehilangan 1.9 juta dan 1.7 juta pengikut. Kylie Jenner, Selena Gomez dan selebriti Youtube seperti James Charles turut mengalami isu tersebut. - Daily Mail.