suria

Pemuda sanggup sewa cincin berlian bernilai hampir RM37,000 demi lamar kekasih

Ashleigh menerima lamaran John biarpun menggunakan cincin yang disewa. - Foto John Elliot

KETIKA kebanyakan lelaki menghabiskan masa selama berjam-jam untuk memikirkan tentang cincin pertunangan yang sempurna, John Elliott mengambil pendekatan yang sedikit berbeza.

Pemuda berusia 27 tahun itu memutuskan untuk menyewa cincin daripada seora wanita asing untuk digunakan sebagai untuk melamar teman wanitanya, Ashleigh.

Dia menyewa cincin Jenni Parker yang bernilai £7,000 (RM36,872) itu pada harga £50 (RM263)setelah memuat naik permintaan luar biasa tersebut ke sebuah laman web sewaan dalam talian.

Idea unik itu muncul kerana John mahu Ashleigh memilih cincinnya sendiri tetapi enggan membuat lamaran tanpa membawa sebentuk cincin.

John yang tinggal di Balham, London berkata: "Saya mahu Ashleigh memilih cincin yang dia inginkan dan ini adalah satu-satunya cara untuk melamarnya tanpa dia tahu ia akan berlaku.

"Saya mahu ia menjadi cincin yang layak dimilikinya. Dia menerima lamaran saya!"

John menyenaraikan permintaan cincin itu di Fat Llama, iaitu sebuah laman web untuk memberi sewa atau menyewa semua jenis barangan.

Ashleigh sedikit kecewa kerana terpaksa memulangkan cincin berlian itu. - Foto Jenni Parker

Pemuda itu mengakui Ashleigh agak sedih ketika dia menyedari bahawa dia tidak dapat menyimpan cincin tersebut, tetapi mengatakan dia kini tahu jenis cincin yang dia mahukan.

John berkata: "Dia suka cincin itu, dia agak sedih hanya kerana hanya dapat pakai sementara pada petang tersebut, tetapi akhirnya ia memberikan idea yang lebih baik tentang apa yang dia cari."

Jenni diberikan cincin mewah itu oleh neneknya selepas perkahwinannya berakhir.

Wanita itu berkata: "Ketika rakan sekerja saya Rosie memberitahu tentang lelaki yang ingin meminjam cincin untuk melamar teman wanitanya, saya tahu saya harus berikan cincin ini dan melihat permulaan baharu dalam hidup orang lain.

"Ia melakar kisah baharu untuk cincin yang berusia lebih 100 tahun ini.

"Kebetulan saya tinggal di atas bot dan pam air rosak pada minggu ini, kos untuk menggantikannya sama dengan bayaran untuk meminjam cincin ini!" - Mirror UK

lamaran

Artikel Lain