SEJAK akhir tahun lalu, Elon Musk sudah mula memperkenalkan Starship, roketnya yang didakwa lebih canggih, kuat dan murah. Starship juga dikatakan dipersiapkan untuk menggantikan semua roket SpaceX. Namun dari semua keistimewaan yang ditawarkan Musk, pakar ragu-ragu tentang Starship yang mungkin akan terbakar ketika mendarat di Marikh atau ketika pulang ke Bumi. Masalah itu dikatakan berpunca daripada najis burung, debu dan bendasing lain yang bertebaran di atmosfera. Starship dirancang memiliki ukuran tinggi sekitar 55 meter dan mengikut perancangan akan dilancarkan secara rasmi pada Mac atau April. Starship dijangka dapat memuatkan 100 penumpang dan lebih dari 100 tan kargo untuk diluncurkan secara terus ke Marikh. Seperti dilaporkan sebelum ini, Musk juga pernah mengungkap menggunakan besi kalis karat sebagai bahan utama pembuatan Starship. Dia berkata, material itu akan menjadikan pesawat ruang angkasa itu tetap sejuk ketika bergerak pada kelajuan pantas. Tetapi, harus diingat, pelindung atau perisai panas adalah keharusan mutlak bagi pesawat ruang angkasa. Ketika pesawat ruang angkasa pulang ke Bumi dari orbit, kelajuannya boleh mencecah 30.600 km sejam. Kadar itu sangat pantas sehingga membuatkan molekul di depan pesawat ruang angkasa berubah menjadi plasma yang sangat panas, yang mampu menghakis, mencairkan, atau mengewap beberapa bahan tahan panas atau yang paling tahan panas. Musk berkata, muncung Starship mungkin terdedah kepada suhu sekitar 2,700 darjah Fahrenheit. Jenis aloi keluli SpaceX yang mungkin digunakan pada kulit luar Starship, dipanggil 310S, cair pada kira-kira 2,400 darjah Fahrenheit. Sebahagian besar pesawat ruang angkasa termasuk kenderaan Crew Dragon dari SpaceX menggunakan perisai panas 'ablatif' yang dihasilkan untuk membakar dan menebat badan pesawat semasa ia menembusi atmosfera. NASA menggunakan jenis teknologi ini untuk kapsul ruang angkasa Mercury, Gemini dan Apollo. Untuk melindunginya dari kepanasan, NASA meletakkan jubin seramik berat di bahagian bawah kapal. Namun pengecualian diberikan kepada Starship. Dalam wawancaranya dengan Popular Mechanics, Musk berkata Starship memiliki perisai haba yang dapat menyejuk oleh transpirasi atau pelenyapan wap air. Cara kerja sistem itu mirip kulit manusia, yang mana peluh menyerap panas tubuh, menguap, dan akhirnya menyejukkan tubuh. Pada Starship, 'peluh' akan menjadi air atau bahan api metana dan diserap 'liang-liang' berupa lubang kecil yang tak terkira banyak jumlahnya di perut kapal Starship. "Jika itu adalah liang-liang mikroskopis, anda dapat membayangkan tidak sukar sangat untuk ia tersumbat," kata Jurutera Awam dan Pengarah Teknologi Angkasa dan Direktorat Eksplorasi di NASA Langley, Walt Engelund kepada Business Insider, Khamis. Kemudian Dwayne Day yang membantu menyelidik kehilangan kru dan pesawat ulang alik milik NASA di COlumbia berkata penyumbatan seperti itu boleh juga tercetus kerana faktor Bumi, misalnya kotoran burung. "Bagaimana jika seekor burung berak pada roket dan menutup beberapa lubang dan semasa ia berpatah balik, cecair penyejuk tidak dapat keluar dari lubang yang akhirnya membuatkan roket panas," kata Day. Roket Opportunity milik NASA. Debu di Marikh juga cukup ganas untuk 'membunuh' robot penjelajah Opportunity milik NASA baru-baru ini. Debu itu menghalang sinar matahari ke panel suria, juga boleh memberi ancaman kepada liang-liang kecil dalam kulit keluli Starship. Engelund menambah, jika Musk memilih menggunakan metana sebagai cecair penyejuk Starship, karbon dalam bahan api seperti metana cenderung mengeras atau menjadi pepejal apabila terdedah kepada suhu tinggi, jadi ia juga boleh menyebabkan risiko tersumbat. Engelund berkata pelbagai sistem penyejukan cecair telah diuji dalam terowong angin hipersonik NASA, yang meniup angin pada ribuan batu sejam untuk mensimulasikan kelajuan luar biasa di bahagian lebih atas atmosfera. Dalam terowong tersebut, satu saluran penyejuk yang tersumbat dapat menguapkan model pesawat. Untuk melihat penyumbatan di ribuan liang sebelum sebuah kapal angkasa dilancarkan dari Bumi akan menjadi cabaran, tetapi akan lebih sukar dilakukan di Marikh, di mana tidak ada menara pelancar. "Bagaimana anda dapat pastikan bahawa semua lubang terbuka atau sekurang-kurangnya tiada halangan?" kata Day. Dalam emel yang dihantar SpaceX kepada Business Insider, ia menegaskan bahawa perubahan berterusan kepada reka bentuk Starship sudah dijangka. Ia adalah sebahagian daripada pendekatan yang lebih besar syarikat dalam reka bentuk dan jurutera berfungsi untuk menjadikan sistem pelancaran itu suatu realiti. Malah, sistem (sebelum ini dikenali sebagai Big Falcon Rocket dan nama-nama lain sebelum itu) telah melalui beberapa reka bentuk semula utama sejak Musk mula-mula menggambarkannya secara terperinci pada September 2016. "Mereka telah mengejutkan ramai orang, dan mempunyai ramai pekerja pintar bekerja untuk mereka, dan Elon nampaknya benar-benar komited dan berdedikasi untuk ini," kata Engelund. "Mungkin terdapat beberapa perkara yang boleh kita lakukan dengan mereka, saya rasa akan ada." -Business Insider